My Add

Tuesday 18 October 2011

Kalau saya kurang ajar, Dr Mahathir itu apa?


Dr. Aziz Bari

Utusan Malaysia
SELASA, 18 Oktober, 2011; Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melabelkannya sebagai kurang ajar kerana mempertikai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Abdul Aziz secara sinis membuka kembali sejarah pentadbiran Dr. Mahathir pada 1983 dan 1993 yang mengubah undang-undang negara terutama berkaitan hal-ehwal raja-raja Melayu melalui Parlimen dan akhirnya berjaya mengehadkan kuasa serta kekebalan institusi tersebut.

"Komen serta kenyataan saya juga masih dalam rangka undang-undang namun saya tidak pernah berceramah seperti beliau (Dr. Mahathir) ke seluruh negara sewaktu cuba mengubah rang undang-undang tersebut.

"Jadi, kalau komen saya yang lembut itu disifatkan kurang ajar, Dr. Mahathir itu apa," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam .

Semalam, Dr. Mahathir berkata, walaupun komen Abdul Aziz mengenai titah Sultan Selangor baru-baru ini mungkin tidak menyalahi undang-undang, namun tindakannya yang enggan meminta maaf atas kesilapan itu jelas bertentangan dengan prinsip moral.

Mengulas lanjut, kata Abdul Aziz, beliau tidak mahu kenyataan itu disalah tafsir sebagai perbuatan tidak menghormati raja tetapi ia dibuat atas dasar ilmiah dan keikhlasan sebagai ahli akademik.

Katanya, beliau juga bukan seorang ahli politik dan tidak mahu terus terpalit dengan kenyataan di media sama ada oleh beliau sendiri mahupun ahli politik lain.

"Adakah itu kurang ajar? Ternyata standard mengenai budaya dan moraliti (ahli politik dan akademik) berbeza," ujarnya.

No comments:

Post a Comment