My Add

Tuesday 18 October 2011

Dengar suara majoriti: Dr Mahathir

DR MAHATHIR beramah mesra bersama graduan pada majlis Konvokesyen ke-11 UTP di Tronoh, semalam.

                                                          Oleh Nurhayati Abllah

Berita Harian
ISNIN, 17 Oktober, 2011: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap pemimpin parti perlu mendengar suara majoriti mengenai cadangan peletakan sesuatu jawatan bagi memastikan perpaduan serta kepentingan parti secara keseluruhan.

Bekas Perdana Menteri berkata, pemimpin yang tidak mendengar pandangan majoriti boleh memberi kesan buruk kepada parti.

“Saya fikir, kita perlu mendengar suara majoriti. Ketika saya menjadi Perdana Menteri dulu... ada orang bercakap bila orang tua ini ingin pergi... (sudah sampai masa) saya pergi,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan ijazah sempena Majlis Konvokesyen ke-11 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Seri Iskandar, semalam. 

Beliau mengulas permintaan Ketua Wanita GERAKAN, Datuk Tan Lian Hoe meminta Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti pada Persidangan Perwakilan Ke-40 parti itu, kelmarin. 

Lian Hoe berkata, permintaan itu bukan bermakna tidak menghormati Tsu Koon sebagai pemimpin utama GERAKAN, tetapi bagi menyuarakan hasrat sebenar akar umbi. 

Ketika ditanya sama ada kenyataan seumpama itu boleh menimbulkan kesan buruk kepada parti, Dr Mahathir berkata, ia tidak semestinya boleh memberi kesan sedemikian sebaliknya setiap isu yang timbul di dalam parti itu perlu diselesaikan terlebih dulu.

“Mereka perlu selesaikan sekarang, sebelum pilihan raya diadakan,” katanya. 

Selain itu, katanya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diteruskan bagi memastikan generasi hari ini mampu menguasai ilmu Sains dan Matematik sekali gus menjadi bangsa dan negara maju. 

“Saya berpendapat, ramai orang mahu PPSMI dikekalkan dalam Bahasa Inggeris.. tetapi saya tidak tahulah.. tekanan yang datang daripada pihak yang bukan belajar Sains dan Matematik. Mereka belajar dalam bidang sastera. 

“Kita bukan ingin belajar Bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik. Kita nak ilmu Sains dan Matematik yang hanya diperoleh daripada Bahasa Inggeris... jadi PPSMI perlu diteruskan," katanya. 

Beliau yang juga Canselor UTP berkata, masalah kekurangan guru mengajar PPSMI tidak menjadi isu kerana ia boleh diatasi menerusi pembelajaran melalui penggunaan komputer dan pendekatan lain.

No comments:

Post a Comment