My Add

Tuesday 18 October 2011

Kelantan bina lebuh raya, Pusat tidak serius

Harakahdaily 
SELASA, 18 Oktober, 2011: Kerajaan Kelantan sedang serius menimbangkan pembinaan lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai melalui kerjasama dengan pihak swasta.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, ini berikutan sikap kerajaan Pusat yang dilihat tidak serius di dalam memenuhi keperluan rakyat Kelantan yang semakin mendesak termasuklah menafikan keperluan projek ini di dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10.

“Justeru, cadangan membina lebuh raya sepanjang 63 kilometer ini sedang diteliti untuk dilaksanakan,” ujar Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan negeri 2012 pada persidangan DUN Kelantan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

Setakat ini katanya, kerajaan Kelantan sudah menerima banyak permohonan pihak swasta yang berminat untuk melaksanakan projek itu.

Beliau juga memberitahu, sebanyak RM29.65 juta telah disediakan kepada Jabatan Kerja Raya negeri untuk melaksanakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat berbanding tahun 2011 sejumlah RM12.0 juta.

Mengenai usahawan, sebanyak RM2.50 juta diperuntukkan di bawah Program Usahawan Berdikari tahun ini berbanding RM2.0 juta tahun lepas yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan termasuk Program Galakan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Program Khas Siswazah, Skim Kerjaya Penganggur, Dana Belia Niaga dan Tabung Usahawan Wanita.

No comments:

Post a Comment