My Add

Friday 21 October 2011

Minta pendakwa raya guna video

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

Utusan Malaysia
JUMAAT, 21 Oktober, 2011: Salah seorang 'Trio Datuk T', Datuk Shazryl Eskay Abdullah ( gambar) meminta pihak pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan rakaman video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang itu seperti didedahkannya kepada media pada 21 Mac lalu sebagai bukti di mahkamah.

Menurutnya, dua pakar forensik video dari Amerika Syarikat (AS) telah mengesahkan bahawa 99.9 peratus pelakunya ialah Anwar.

Untuk pengesahan lebih lanjut, katanya, kedua-dua pakar forensik video itu juga boleh dibawa sebagai saksi dalam kes liwat berkenaan.

''Dua dokumen dipamerkan di mahkamah ketika saya serta dua rakan (Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim) didakwa Jun lalu termasuk hasil kajian bagi menentukan kesahihan dan siapa pelaku dalam video berkenaan.

"Justeru, saya mencadangkan pihak pendakwaan menggunakan rakaman video itu dan laporan kesahihannya sebagai bukti," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam. 

Pada 21 Mac lalu, trio 'Datuk T' menayangkan sebuah klip video seks didakwa melibatkan Anwar yang dirakamkan pada 21 Februari 2011 kepada sekumpulan pengamal media.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu serta membuat laporan polis berkenaan penayangan tersebut sementara trio Datuk T telah dijatuhkan hukuman denda oleh mahkamah atas kesalahan menayangkan video lucah secara terbuka.

Sementara itu, kata Shazryl Eskay, video yang didakwanya melibatkan Anwar itu boleh digunakan bagi menyangkal keterangan pakar ortopedik Jerman, Dr. Thomas Hoogland bahawa Ketua Pembangkang tersebut tidak mungkin boleh melakukan aksi seks kerana masalah tulang belakang.

Menjawab satu soalan, katanya: "Anwar boleh kata beliau tidak rapat dengan saya atau apapun tetapi pepatah mengatakan sekeping gambar menceritakan segalanya, apatah rakaman beberapa video menunjukkan saya bersamanya dalam sebuah bilik seperti disahkan pakar video AS."

No comments:

Post a Comment