My Add

Friday 21 October 2011

Nasib pemandu bersikap budiman, teksinya dilarikan wanita

Utusan Malaysia
JUMAAT, 21 Oktober, 2011: Sikap budiman seorang pemandu teksi sanggup berhenti untuk membantu seorang penumpang wanita membeli minuman di sebuah kedai serbaneka di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, kelmarin, diambil kesempatan oleh wanita terbabit untuk melarikan kenderaannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam kejadian pukul 2.50 petang itu, mangsa diminta berhenti di tepi jalan oleh wanita terbabit yang mengadu berasa dahaga.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta pemandu teksi terbabit membantunya membeli minuman di sebuah kedai serbaneka berhampiran sementara dia menunggu dalam kenderaan.

Katanya, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa dengan rela hati pergi ke kedai tersebut untuk membeli minuman yang diminta oleh suspek.

“Sebaik sahaja ditinggalkan sendirian, wanita terbabit terus melarikan teksi tersebut.

“Kejadian itu hanya disedari mangsa apabila mendapati teksi bersama penumpangnya hilang selepas kembali bersama minuman yang dibeli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairi berkata, polis yang menerima laporan kes itu pada hari sama berusaha mengesan suspek bersama teksi yang dilarikan.

“Kita tidak tahu apa motif wanita terbabit melarikan teksi tersebut dan siapa suspek sebenarnya,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment