My Add

Saturday 8 October 2011

Pahang kenal pasti tapak baru Orang Asli di Sungai Ruil

SABTU, 08 Oktober, 2011: Kerajaan negeri Pahang sudah mengenal pasti satu tapak baru bagi penempatan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, yang terbabit dengan bencana tanah runtuh pada Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, berkata lokasi baru itu dilihat sesuai kerana tidak jauh dari bandar dan memudahkan pihak kerajaan menyalurkan sebarang bantuan kepada penduduk.

Beliau yang tidak menyatakan lokasinya bagaimanapun berkata, pihaknya perlu membuat kajian secara lebih mendalam sebelum menempatkan penduduk di kawasan itu bagi mengelak tragedi sama berulang. 

"Yang pasti penempatan baru itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan keperluan yang sewajarnya termasuk bekalan elektrik, air paip, dewan dan tabika untuk kemudahan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lipis, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peruntukan khas RM20 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 semalam untuk penempatan semula penduduk Orang Asli Sungai Ruil. 

Dalam kejadian Ogos lalu, tujuh penduduk Orang Asli Sungai Ruil terbunuh, dua cedera apabila lima buah rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment