My Add

Saturday 8 October 2011

Anwar Ibrahim boleh bongkok badan

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

SABTU, 08 Oktober 2011: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam diberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin boleh melakukan aksi seks berdasarkan keadaan sakit tulang belakang dialaminya yang tidak membolehkannya membongkokkan badan dengan biasa tanpa merasa sakit. 

Pakar Bedah Ortopedik dan Tulang Belakang, Dr Thomas Hoogland, berkata beliau membuat rumusan itu berdasarkan kapasitinya sebagai pakar tulang belakang selepas melakukan pemeriksaan dan meneliti keputusan X-ray serta pengimejan resonans magnet (MRI) tulang belakang Anwar.

Katanya, walaupun keadaan Anwar bertambah baik selepas menjalankan pembedahan tulang belakang pada 6 September 2004, kerosakan akar saraf yang belum pulih sepenuhnya menyebabkan beliau tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti yang memerlukan pergerakan badan secara kasar.

Dr Hoogland saksi ketujuh pihak pembelaan berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan utama peguam Anwar, SN Nair di depan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. 

Selain itu, katanya, faktor usia Anwar juga tidak memungkinkannya melakukan aktiviti seks. 

Menjawab soalan balas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Dr Hoogland berkata masalah Lumbar Spinal Stenosis iaitu keadaan penyempitan ruang di bawah tulang belakang menyebabkan rasa kebas, lemah, kejang atau sakit pada kaki apabila menggerakkan bahagian belakang, tidak berkaitan peningkatan usia. 

Apabila dicadangkan Mohamed Yusof bahawa secara umumnya peningkatan usia seseorang individu menyebabkan tisu dan tulang menjadi tertekan yang membawa kepada kemerosotan kepada tulang belakang, pakar itu berkata; Ingin saya ulangi sekali lagi bahawa ia tiada kaitan dengan usia seseorang.

Katanya, ia boleh berlaku kepada sebahagian golongan seperti individu pada usia awal 40 tahun, manakala ada yang tidak mengalaminya walaupun sudah berusia 80 tahun ke atas, malah kebanyakan pemain bola sepak banyak mengalami masalah sedemikian. 

Dr Hoogland berkata, ia disebabkan kanak-kanak dan golongan muda mempunyai jumlah kandungan cecair yang lebih pada saraf antara tulang di tulang belakang, tetapi apabila usia seseorang itu meningkat kandungan cecair itu akan hilang. 

Hasil pemeriksaan yang saya jalankan ke atas Anwar pada September 2004 menunjukkan simptom penyempitan pada laluan tulang belakang (stenosis) dan kerosakan pada saraf. Jika ia hanya stenosis yang disebabkan oleh peningkatan usia, maka kerosakan pada saraf tidak akan berlaku, katanya. 

Mahkamah kemudian dipertontonkan dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan visual Anwar memasuki lif di Kondominium Desa Damansara tempat kejadian liwat didakwa berlaku pada 26 Jun 2008 dan dalam rakaman itu beliau membongkok untuk mengambil serta memakai kot hitam dalam lif berkenaan. 

Merujuk kepada rakaman itu, Dr Hoogland bersetuju dengan Mohamed Yusof bahawa Anwar boleh membongkokkan badannya, tetapi, katanya, beliau tidak dapat melihat sama ada Anwar berasa sakit ketika berbuat demikian kerana rakaman visual itu bukan dalam kelajuan biasa. Perbicaraan bersambung 17 Oktober depan. - Berita Harian


































No comments:

Post a Comment