My Add

Friday 7 October 2011

Pas Terengganu akan keluar manifesto sendiri

JUMAAT, 07 Oktober. 2011: Pas negeri akan mengeluarkan manifestonya sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, bagaimanapun tidak pasti sama ada akan memasukkan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu atau tidak.

Menurut Pesuruhjaya Pas negeri, Abd. Wahid Endut, pihaknya masih dalam peringkat akhir menyiapkan manifesto pilihan raya parti berkenaan bagi menghadapi PRU akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu bagaimanapun enggan menyebut kandungan manifesto tersebut atas alasan ia belum dimuktamadkan.

"Kita sudah pada peringkat terakhir bagi menyiapkan manifesto Pas Terengganu bagi menghadapi PRU Ke-13, tunggulah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengenai pelaksanaan hukum hudud di Terengganu yang mungkin tersenarai di dalam manifesto tersebut, beliau enggan menjelaskan mengenai perkara itu.

Abd. Wahid bagaimanapun berkata, parti berkenaan sememangnya sudah lama bersetuju untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

Malah, tegas beliau, cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Terengganu telah diluluskan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu setelah pindaan dibuat kira-kira lapan tahun lalu.

"Hukum hudud di Terengganu sebenarnya sudah lama lulus dan ia sudah menjadi sebahagian daripada Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Ditanya sama ada Pas negeri akan bersama kerajaan Pas Kelantan berhubung pendekatan pelaksanaan hukum hudud, Abd. Wahid berkata, ia bergantung pada keadaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment