My Add

Saturday 8 October 2011

PDRM sambut baik peruntukan RM642 juta

SABTU, 08 Oktober, 2011: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keprihatinan kerajaan menyalurkan peruntukan RM642 juta dalam Bajet 2012 kepada pasukan itu bagi menaik taraf kemudahan dan kelengkapan untuk penugasan yang lebih efisien serta efektif, selaras dengan peredaran masa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, keprihatinan kerajaan itu akan menyumbang peningkatan motivasi dan prestasi kerja warga PDRM.

Menurut beliau, peruntukan RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan dan kelengkapan khususnya dalam bidang penyiasatan dan forensik menunjukkan kerajaan prihatin dalam susun atur kerja PDRM dalam meningkatkan kualiti dan prestasi.

"Kerajaan juga memberikan peruntukan RM442 juta bagi projek- projek pembangunan dan menaik taraf perumahan polis, ibu-ibu pejabat polis daerah, balai-balai polis serta pusat latihan yang dilihat memberi fokus kepada kebajikan warga PDRM," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, manfaat sama turut diperoleh pesara-pesara polis apabila kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM3,000 seorang kepada 62,000 pesara dalam pelbagai perkhidmatan polis seperti Konstabel Khas (SC), polis bantuan termasuk balu serta duda mereka. - UtusN

"Peruntukan itu sangat bertepatan kerana jasa dan pengorbanan mereka dalam menentukan kesejahteraan negara diberi penghormatan sewajarnya," katanya.

Tambah Ismail, pihaknya turut menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan usia persaraan daripada 58 ke 60 tahun kepada penjawat awam.

Jelasnya, ini membolehkan kumpulan kepakaran di dalam PDRM terus berkhidmat dan membantu sumber manusia baru dalam sesuatu bidang.

"Kedua, kebanyakan warga PDRM yang masih sihat secara fizikal dan mental dapat terus berkhidmat serta mencurahkan bakti dalam tempoh dua tahun itu," ujarnya.

Beliau berkata, pengumuman kenaikan gaji dalam sektor awam sebanyak tujuh hingga 13 peratus itu turut membolehkan warga PDRM menampung sara hidup terutamanya yang tinggal di bandar.

Tambah Ismail, beliau dan seluruh warga PDRM menghargai keputusan kerajaan memberikan bonus sebanyak setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam termasuk pesara-pesara polis. - Utusan -






No comments:

Post a Comment