My Add

Monday 17 October 2011

Pembangkang tiada ruang mengkritik - Hishammuddin

Bernama
ISNIN, 17 Oktober, 2011: Ketelusan kerajaan dalam melaksanakan dasarnya membuatkan pihak pembangkang sering mengubah isu mereka, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk rakyat sehingga pembangkang tidak mempunyai ruang untuk mengkritik.
Hishammuddin Husein

“Sebab itu apabila kita jawab isu yang mereka timbulkan, mereka terpaksa mengalih kepada isu lain pula,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan Perdana peringkat negeri Perlis di Kangar, semalam.

Kira-kira 4,000 orang menghadiri majlis penerangan itu yang berlangsung di Kompleks Warisan.

Sebagai contoh, Hishammuddin berkata, pembangkang juga pernah menuduh kerajaan memberi taraf kewarganegaraan kepada ramai warga Bangladesh dengan mempunyai agenda tertentu.

Bagaimanapun jumlah sebenarnya hanya 28 orang tetapi hanya separuh daripadanya yang layak mengundi dan hanya tiga atau empat orang memohon menjadi pemilih.

Mengenai isu pengundi hantu yang turut dibangkitkan oleh pembangkang, beliau berkata, perkara itu akan didedah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang turut dianggotai tiga anggota pembangkang dan satu wakil bebas.

Katanya, biar jawatankuasa itu sendiri yang melihat fakta sebenar pemindahan pemilih dari satu kawasan ke kawasan lain dan anggota parti mana yang paling banyak berbuat demikian.

Hishammuddin berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akan menggantikannya dengan akta lebih relevan.

“Rakyat tidak perlu bimbang apabila ada akta lapuk yang dimansuhkan.

Kerajaan sentiasa menjaga kepentingan rakyat dengan akta baru,” katanya.

Menurutnya, dengan akta baru bagi menggantikan akta yang dimansuhkan, mereka yang terbabit dalam kegiatan mengganggu gugat keharmonian negara boleh dihadapkan ke muka keadilan dan tidak lagi ditahan tanpa bicara.  

No comments:

Post a Comment