My Add

Saturday 22 October 2011

Pemimpin pembangkang sertai demonstrasi diselar

SABTU, 22 Oktober, 2011: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyelar tindakan pemimpin pembangkang yang hadir ke universiti itu dan menyertai demonstrasi bersama sekumpulan mahasiswa dari pelbagai universiti lain sekitar ibu kota sebagai membantah keputusan pengantungan sementara oleh universiti berkenaan terhadap pensyarah undang-undangnya, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari.

Rektornya, Datuk Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, kehadiran dua Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua seperti menangguk di air keruh dan bertujuan mencemar nama baik universiti itu.

"Kenapa mereka berada di sini untuk memburuk-burukkan UIAM sedangkan masalah yang berlaku diselesaikan secara kekeluargaan. Universiti memberi masa mencukupi kepada Abdul Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab dan selepas itu beliau akan bertugas seperti biasa kerana kepentingan pelajar diutamakan.

"Mengenai demonstrasi, berdasarkan bukti gambar yang diambil ketika protes berlangsung tadi, kami mendapati ramai daripada kumpulan itu bukan mahasiswa UIAM sebaliknya dari beberapa buah universiti lain di sekitar Lembah Klang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, selepas solat Jumaat, sekitar ratusan pelajar berkumpul dan memprotes keputusan universiti berkenaan menggantung khidmat Abdul Aziz kerana kenyataan beliau berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Menurut Zaleha, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari universiti-universiti berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengapa pelajar mereka berada di kampusnya dan terlibat dengan demonstrasi berkenaan.

"Sebelum ini, kami telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pelajar UIAM bagi menjelaskan keadaan sebenar kes Abdul Aziz dan mereka memahami keputusan yang diambil pihak universiti.

"Masalahnya sekarang ialah pelajar kami faham tetapi orang luar pula yang sibuk dan cuba meraih keuntungan peribadi dengan memanaskan isu ini. Tian Chua pula, apa yang dia buat di masjid UIAM, adakah dia menunaikan solat Jumaat ," katanya.

Sementara itu, Dr. Abdul Aziz akan dihadapkan ke tribunal universiti jika surat tunjuk sebab beliau berhubung kenyataannya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, tidak kukuh.

Menurut Dr. Zaleha, tindakan menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin bertujuan memberi beliau masa dan peluang yang secukupnya untuk membela diri dan bukan sebagai ‘hukuman’ sebagaimana diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.

“UIAM dikecam kerana menggantung beliau, tetapi ramai yang tidak tahu maksud ‘gantung’ itu. Kami bukan menghukum Abdul Aziz tetapi memberi peluang kepadanya untuk membela diri.

“Tindakan universiti menggantung beliau tidak bercanggah dengan mana-mana undang- undang universiti mahupun negara. Jadi, mengapa perlu UIAM dikecam dan mengapa tindakan kami menggantung beliau dipersoalkan?” katanya pada sidang akhbar di UIAM hari ini.

Semalam, peguam Abdul Aziz, Dr. Zulqarnain Lukman memberitahu UIAM menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak kerana kenyataan beliau berhubung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Zaleha menegaskan, dalam tempoh penggantungan itu, Abdul Aziz perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut iaitu sama ada beliau telah menjejaskan kepentingan universiti selaras dengan Peraturan 15, Peraturan Tatatertib Kakitangan atau tidak.

No comments:

Post a Comment