My Add

Thursday 6 October 2011

Pemuda MCA cabar Pang Chaw bubar DHPP

KOTA BHARU: Pemuda MCA Kelantan mencabar Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chaw meletakkan jawatan dan membubarkan pergerakan itu sekiranya benar beliau tidak berpuas hati terhadap tindakan Pas yang berkeras untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Ketuanya, Gan Han Chuan berkata, tidak ada alasan sebenarnya bagi Pang Chaw untuk terus menyokong Pas kerana telah terbukti parti tersebut hanya mempergunakannya bagi menarik sokongan masyarakat Cina.

"Beliau tidak berpuas hati dengan Pas dan mendakwa DHPP tidak diajak berbincang apabila Pas mengharamkan penjualan loteri Big Sweep suatu ketika dahulu dan sekarang tidak dimaklumkan kerajaan Pas Kelantan apabila hendak melaksanakan Hudud.

"Dalam hal ini, Pang Chaw tidak boleh melakukan apa-apa, lantaran itu lebih baik untuknya meletakkan jawatan dan membubarkan pergerakan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pang Chaw sebelum ini dilaporkan mempertahankan pendiriannya bahawa Pas perlu memberi penjelasan secukupnya kepada masyarakat bukan Islam berhubung cadangan untuk melaksanakan hukum Hudud.

Beliau berkata, sebagai satu sayap parti, penglibatan DHPP dalam perkara itu penting demi survival politik dan harus dilihat di peringkat nasional dan bukan negeri semata-mata.

Mengulas lanjut, Han Chuan berkata, Pang Chaw sebenarnya dalam dilema apabila 20,000 ahli DHPP keliru dengan keputusan kerajaan Pas Kelantan itu.

Katanya, apa yang menghairankan adalah apabila DHPP terus bersekutu dengan Pas walaupun sebelum ini Pang Chaw dilaporkan turut merungut kerajaan Pas Kelantan masih tidak banyak melakukan usaha untuk meningkatkan sektor pelaburan, pekerjaan dan pembangunan.

"Pelaksanaan hukum hudud akan menjadikan keadaan di Kelantan lebih buruk dan DHPP bakal berdepan keadaan yang sukar untuk menghilangkan rasa bimbang di kalangan masyarakat Cina," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment