My Add

Wednesday 19 October 2011

PM, TPM dikunjungi Ketua Umum MPR Indonesia

Bernama
RABU, 19 Oktober, 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam menerima kunjungan hormat Ketua Umum Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Republik Indonesia Mohamad Taufiq Kiemas di pejabat masing-masing di Parlimen.

Mohamad Taufiq menemui kedua-dua pemimpin itu secara berasingan bagi membincangkan isu kepentingan bersama dan usaha memperkukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua buah negara berjiran.

Sebelum itu, beliau mengunjungi Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang disusuli dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabat mereka.

Pada sidang berita selepas mengadakan pertemuan dengan Najib, Mohamad Taufiq berkata, kerajaan Indonesia berharap perkara berkaitan sempadan antara kedua-dua negara diselesaikan secara ‘kekeluargaan’ sebelum dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi memelihara hubungan rumpun serantau.

Beliau berkata, pihaknya masih mencari ‘jalan keluar’ untuk menyelesaikan perkara itu termasuk kawasan Camar Bulan dan isu perairan Ambalat di perairan Laut Sulawesi yang sering dihangatkan oleh media tempatan di Indonesia.

“Kita harus bincang dengan terbuka secara kekeluargaan dan kita boleh mengambil tindakan secara berkesan untuk menyelesaikan isu- isu tersebut,” katanya yang bersedia menjadi ‘jambatan’ bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit melibatkan kedua-dua negara.

Mengulas peranan media tempatan dan Indonesia, Mohamad Taufiq berkata, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan positif dalam melaporkan situasi sebenar di negara masing-masing.

“Mungkin kedua-dua media (Malaysia-Indonesia) boleh melakukan kunjungan di kedua-dua negara dan boleh juga belajar antara satu sama lain. Kita (MPR) tidak boleh mengawal media kerana media di sana (Indonesia) bersifat bebas,” katanya.

Mengulas isu persempadanan itu, Timbalan Ketua MPR pula Hajriyanto Yasin Thohari berkata, meskipun Najib mencadangkan untuk menyelesaikan perkara itu di ICJ, namun pemerintah Indonesia masih belum mencapai keputusan untuk membawa isu-isu berkaitan ke ICJ.

No comments:

Post a Comment