My Add

Wednesday 5 October 2011

Proses 'Pemutihan' Program 6P bermula Isnin: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Proses 'Pemutihan' yang menjadi komponen kedua Program 6P akan dilaksanakan Isnin ini dengan kesemua pendatang asing yang telah mendaftar akan bekerja di lima sektor utama yang ditetapkan kerajaan. 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata 2,320,034 pendatang asing yang telah berdaftar akan ditempatkan di lima sektor antaranya perladangan, pembinaan dan pembuatan.

"Mereka yang telahpun keluar (mendaftar), mereka ini akan diuruskan penempatan-penempatan di mana mereka harus ditetapkan dalam semua sektor yang kita benarkan.

"Penempatan mungkin di mana mereka bekerja...maka kalau difikirkan sesuai di situlah mereka akan terus bekerja dan akan diberikan permit bekerja yang sah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Asing di Bilik Jawatankuasa Kabinet 2, di bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Turut sama pada sidang akhbar itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam. 

Muhyiddin berkata daripada jumlah itu, seramai 1,016,906 pendatang asing didaftarkan di bawah pendaftaran niometrik manakala 1,303,126 pula di bawah pengampunan. 

Daripada jumlah yang mendaftar itu, seramai 50,000 pendatang asing bekerja di sektor yang tidak diluluskan dan bekerja secara haram, katanya. 
"Kita mahu memberi peluang kepada mereka yang telah menyambut tawaran kita untuk mendaftar dengan memberi mereka peluang untuk bekerja di sektor yang kita tetapkan," kata Muhyiddin. 

Beliau berkata selepas proses pemutihan ini selesai, tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka dan menempatkan pekerja mereka di sektor yang tidak dibenarkan kerajaan. 

"Kita dah bagi tempoh masa dan kita dah lanjutkan lebih daripada sepatutnya...penguatkuasaan akan dijalankan bagi mereka yang tidak menyambut tawaran kita untuk keluar (mendaftar) pada tempoh yang ditetapkan. 

"Langkah yang penting ialah mengambil tindakan yang tegas pada majikan dan seterusnya kepada pendatang asing tanpa izin," katanya. 

Muhyiddin berkata tindakan penguatkuasaan akan dilakukan serta merta sekiranya terdapat laporan majikan yang menyembunyikan pekerja mereka. 

Beliau berkata pembekuan pengambilan pekerja asing masih berjalan sehingga selesai proses pemutihan. 

Kerajaan mengekalkan 14 negara sumber untuk menguruskan pekerja-pekerja sedia ada, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment