My Add

Wednesday 5 October 2011

TPM puas hati peranan NGO bantu polis


Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
 

Pelbagai program, usaha untuk tingkat keselamatan masyarakat dapat kerjasama 

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan peranan yang dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam usaha membantu pihak polis memelihara keamanan dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, pelbagai program yang diadakan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk seminar serta kursus oleh NGO mendapat perhatian, selain menekankan pembabitan sektor swasta.
“Walaupun tanggungjawab memelihara keselamatan dan ketenteraman awam diletakkan di bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), kejayaan usaha ini pastinya bergantung kepada kerjasama seluruh masyarakat. 

“Peranan yang dimainkan oleh agensi lain dan NGO seperti MCPF adalah penting kepada usaha memelihara keamanan negara, selain pendekatan inklusif oleh sektor swasta yang memberi tumpuan kepada aspek peningkatan teknologi keselamatan, polis bantuan, perniagaan serta NGO di atas platform tanggungjawab sosial korporat,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal MCPF 2011 dengan tema 1Malaysia 1Komuniti Selamat di sini, malam tadi. 

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye. 

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa berusaha meletakkan Malaysia pada kedudukan antara 10 negara paling selamat di dunia, malah kejayaan negara dipilih sebagai negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara akan terus dipertingkatkan dengan sokongan semua pihak. 
“Pujian harus diberikan kepada pasukan PDRM yang terus berusaha mengurangkan kadar jenayah dengan melaksanakan inisiatif yang dirangka mengikut Program Transformasi Kerajaan (GTP),” katanya. 

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada MCPF kerana berjaya mengumpul dana berjumlah RM2.6 juta pada majlis berkenaan dan berharap program pencegahan jenayah di semua peringkat dapat dipertingkatkan. - Berita Harian 

No comments:

Post a Comment