My Add

Tuesday 11 October 2011

Titah Sultan Selangor bukti cubaan pesong akidah umat Islam

Bernama
SELASA.11 Oktober, 2011: Pelbagai pihak menyifatkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kehadiran orang Islam pada satu jamuan di sebuah gereja di Petaling Jaya sebagai bukti wujudnya kegiatan pihak tertentu yang cuba memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

Mereka meminta Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mewujudkan satu prosedur operasi standard yang boleh diguna pakai oleh Jabatan Agama Islam di negeri-negeri agar tindakan yang diambil bagi membendung kegiatan itu tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, titah Sultan Selangor itu memberi keyakinan kepada pihak berkuasa agama untuk terus bertindak melindungi akidah umat Islam di negara ini terutama generasi muda daripada dipesongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kejadian di Selangor itu seharusnya menjadi iktibar khususnya kepada semua pihak berkuasa agama supaya sentiasa berusaha menangani masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat Islam kini yang mungkin menyebabkan akidah mereka mudah dipesongkan.

Dalam satu kenyataan semalam, Sultan Selangor bertitah bahawa telah berlaku cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah orang Islam dalam majlis di Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos lepas.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan pula berkata, titah Sultan Selangor itu amat rasional dan menjunjung prinsip ihsan seperti yang dianjurkan dalam Islam.

Katanya, titah baginda itu begitu tegas dan berani dalam menyatakan kebenaran mengenai cubaan pemesongan akidah umat Islam tapi dalam masa yang sama menganjurkan rasa hormat bagi memelihara keharmonian pelbagai agama.

"Jelas, baginda amat memahami prinsip pemuafakatan dan dalam masa yang sama tegas mengekang golongan pelampau agama,” kata Amidi.

Beliau berkata, tindakan JAIS yang jelas mematuhi peruntukan landasan undang-undang memberi mesej yang jelas kepada pihak berkenaan agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Katanya, pihak berkenaan seharusnya diberikan pemahaman mengenai peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan mengenai kesucian Islam agar mereka tidak cuba mengulangi perbuatan itu. 

No comments:

Post a Comment