My Add

Saturday, 15 February 2014

Sarawak bakal hilang hasil cukai

Oleh FARHANA JONI

* SeEORANG peladang mengangkut buah sawit. - GAMBAR HIASAN
KUCHING, JUMAAT, 14 Februari, 2014: Sarawak akan kehilangan hasil cukai jualan minyak sawit lebih RM400 juta setahun berikutan tindakan sebuah syarikat kilang penapisan antarabangsa menghentikan pembelian minyak sawit mentah (CPO) negeri ini.

Menteri Pembangunan Tanah negeri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing berkata, keadaan itu berlaku apabila kerajaan negeri menerima surat daripada syarikat milik Singapura, Wilmar International Limited yang memberitahu akan menghentikan pembelian CPO dari Sarawak bermula 2015.

“Keputusan syarikat tersebut memang agak drastik bagi pertumbuhan ekonomi Sarawak kerana ia akan menjejaskan pendapatan 17,578 pemegang kecil dan beberapa penduduk luar bandar yang terlibat dalam industri tanaman sawit.

“Dalam surat itu, syarikat berkenaan memberitahu isu persekitaran menjadi faktor utama pihaknya menghentikan pembelian sawit negara malah mereka meminta kerajaan negeri supaya tidak mengorbankan kawasan hutan dengan tanaman sawit," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Baitulmakmur di Jalan Masja di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan alasan syarikat antarabangsa itu sebaliknya menyifatkan alasan itu berbaur cemburu kerana nilai minyak sawit tinggi di pasaran.

Katanya, dakwaan kononnya tanaman sawit menyebabkan persekitaran hutan Sarawak terjejas juga tidak betul kerana kumpulan pakar telah menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum program penanaman dilakukan.

“Hasil daripada tanaman sawit di kawasan itu telah menyumbang cukai jualan sawit negara untuk tempoh 2002 hingga Jun 2013 sebanyak RM2.16 bilion," ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan tunduk dengan tekanan itu sebaliknya berusaha mencari pasaran antarabangsa luar yang lain.

Katanya, sekiranya syarikat antarabangsa kekal dengan keputusan tersebut berkemungkinan kerajaan negeri akan mencari pembeli dari India dan China. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment