My Add

Saturday, 15 February 2014

Polis Thai dikerah kuasai lokasi bantahan

 * BEBERAPA penunjuk perasaan antikerajaan, cuba menghalang anggota polis antirusuhan mengosongkan lokasi bantahan berhampiran Rumah Kerajaan di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK, JUMAAT, 14 Februari, 2014: Pihak berkuasa Thailand mengerahkan beribu-ribu aanggota polis antirusuhan di ibu negara hari ini, sebagai usaha menguasai semula ibu pejabat kerajaan dan beberapa kawasan utama lain yang dijadikan kem bantahan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan.

Ketua Majlis Keselamatan Negara, Paradorn Pattanatabut berkata, pihaknya terlebih dahulu akan berunding dengan penunjuk perasaan sebelum mengarahkan pasukan keselamatan mengosongkan beberapa kawasan penting termasuk bangunan Rumah Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri.

Pattanatabut berkata, perhimpunan tersebut diadakan secara haram dan sejumlah senjata berbahaya dipercayai berada di lokasi tersebut.

"Kami akan mengambil alih semula lokasi yang dikehendaki dan menahan ketua penunjuk perasaan.

"Operasi ini bukan bertujuan mengambil tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, tetapi penguatkuasaan undang-undang di lokasi bantahan," jelasnya.

Operasi itu tertumpu di kawasan kerajaan berbanding lokasi persimpangan utama di pusat komersial yang menjadi tumpuan bantahan selama beberapa minggu lalu.

Pihak keselamatan setakat ini telah membersihkan lokasi perhimpunan berdekatan pejabat Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra yang tidak dapat digunakan selama dua bulan ekoran bantahan terbabit.

Anggota polis antirusuhan mengalihkan khemah penunjuk perasaan dan menggunakan pembesar suara bagi memberi amaran kepada peserta demonstrasi agar tidak mengganggu operasi tersebut.

Tiada pertempuran tercetus dilaporkan buat masa ini.

"Pihak polis perlu mengosongkan kawasan ini yang dikategorikan sebagai berbahaya dan mahu mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Beberapa suspek yang dikehendaki polis juga dipercayai menyertai bantahan ini dan kami meminta agar semua pihak tidak melawan atau mengganggu tugas polis," kata seorang anggota polis. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment