My Add

Saturday, 15 February 2014

Sokongan Abang Johari, Awang Tengah dihargai

KUCHING, JUMAAT, 14 Februari, 2014: Tan Sri Adenan Satem menghargai sokongan yang diberikan oleh Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan terhadap pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Katanya, sokongan kedua-dua pemimpin itu yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pemimpin berpotensi menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud membuktikan hubungan mereka bertiga yang berada dalam Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) kukuh.

"Saya menyedari ada pihak di luar sana yang mahu melihat kami dan PBB berpecah. Saya minta maaf kepada mereka kerana kecewa, perkara itu tidak akan terjadi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pertamanya sejak diumum sebagai pengganti Abdul Taib di Bangunan Kompleks Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah di sini hari ini.

Adenan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari ini dan akan memulakan tugas mulai 1 Mac depan.

Dalam sidang akhbar hampir sejam itu Adenan yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak turut ditemani dua anak lelakinya, Abdul Aziz, 41, dan Azizul Annuar, 23.

Adenan yang merupakan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) turut memberitahu, ramai tidak mengetahui beliau mempunyai hubungan sangat baik dengan Abang Johari.

Katanya, mereka berdua berasal dari Kampung Bandar Shah, Satok, malah kedua-dua bapa mereka juga berkawan baik.

"Tun Openg (bapa Abang Johari) dan Haji Satem merupakan dua rakan baik. Sikap dan peribadi Abang Johari adalah serupa dengan arwah bapanya, seorang yang sangat baik," katanya.

Adenan turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Taib kerana yakin dengan kemampuannya memimpin negeri ini.

Menurut Adenan, Abdul Taib tidak pernah menyatakan secara langsung hasrat melantik beliau sebagai pengganti dan mengakui banyak perkara yang mereka lakukan bersama adalah secara kebetulan.

"Misalnya ketika mengerjakan umrah baru-baru ini. Saya tidak pergi bersama dengan beliau (Abdul Taib) sebaliknya kami berjumpa di sana.

"Mungkin daripada pertemuan itu, beliau (Abdul Taib) melihat saya sesuai untuk menggantikan tempatnya," kata beliau.

Sehubungan itu beliau menafikan dakwaan yang menyatakan pelantikan tersebut sudah dirancang.

Ditanya mengenai tahap kesihatannya, Adenan mengakui pernah jatuh sakit pada tahun lalu dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur; Pusat Perubatan Normah Kuching dan Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Namun katanya, beliau bersyukur sembuh dengan segera selepas menerima rawatan daripada sekumpulan doktor dan mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anaknya.

"Kesihatan saya semakin stabil kerana boleh berjalan beberapa kilometer untuk melakukan tawaf dan saie ketika mengerjakan umrah baru-baru ini. Saya harap kesihatan saya akan berterusan dalam keadaan yang baik," katanya.

Ditanya berapa lama beliau akan menjadi Ketua Menteri, Adenan memberitahu, tanggungjawab itu akan dipikul selagi perkhidmatannya diperlukan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment