50 NBOS Kejiranan Indah dilaksanakan tahun ini - Abdul Rahman
MARAN, SABTU, 10 Mei, 2014: Sebanyak 50 projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kejiranan Indah akan dilaksanakan tahun ini membabitkan kos RM52.86 juta.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, 20 daripadanya adalah perumahan awam kos rendah dibaik pulih manakala 30 lagi pembinaan semula rumah terbakar atau rumah usang.
Program NBOS Kejiranan Indah yang kita laksanakan sebelum ini telah memberi perubahan positif kepada persekitaran kehidupan dan sosial yang drastik kepada kira-kira 91,000 penduduk terlibat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengesyorkan supaya projek ini diperluaskan lagi pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek NBOS Kejiranan Indah di Taman Jengka Impian, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Arpah Abdul Razak.
Abdul Rahman berkata, dari Julai 2012 hingga akhir tahun lalu, kementerian itu telah melaksanakan NBOS Kejiranan Indah di 54 lokasi di seluruh negara.
Beliau berkata, 29 daripadanya merupakan projek Kejiranan Indah membaik pulih kawasan perumahan awam dan 25 lagi membina semula rumah terbakar yang dilakukan oleh anggota bomba kementerian berkenaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment