Transformasi, peremajaan UMNO berjalan lancar
PUTRAJAYA, SABTU, 10 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, proses peremajaan UMNO sedang berjalan lancar dan mula menampakkan hasil positif.
Beliau berkata, walaupun masih ada sebilangan anggota parti itu yang belum bersedia untuk berubah dari segi minda dan budaya, namun beberapa perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan menampakkan penerimaan yang lebih baik dalam kalangan anggota parti.
Antaranya pemilihan secara langsung yang dilaksanakan buat julung kalinya oleh parti itu dalam pemilihan UMNO tahun lepas, yang melibatkan penyertaan lebih 160,000 anggota akar umbi layak memilih pucuk pimpinan parti pada semua peringkat, berbanding hanya 2,600 perwakilan parti sebelum ini.
"Saya akui (transformasi) belum sepenuhnya lagi, tetapi saya anggap ini sebagai satu perjalanan. Ini mungkin fasa pertama (pemilihan parti). Selepas ini, kita perlu melihat apakah kaedah yang lebih baik dan bagaimana hendak ubah mindset atau sikap dan nilai manusia serta pemimpin-pemimpin dalam konteks peringkat akar umbi.
"Dalam proses peremajaan parti, ia tidak mungkin berlaku dalam tempoh masa satu penggal sahaja atau kurang daripada satu penggal. Dalam satu penggal ada penggantian dengan pemimpin-pemimpin lebih muda dan baharu dan selanjutnya proses ini akan kita teruskan dan kita perlu mengenal pasti bakat atau 'talent' baharu yang boleh kita ketengahkan," katanya.
Perubahan yang dilakukan susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009 itu antara lain bertujuan mengekang politik wang dalam parti; menjadikan parti itu lebih terbuka, inklusif dan lebih demokratik.
Najib berkata demikian dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment