![]() |
Mohamed Nabi Bux yang juga bekas Setiausaha Pas Cawangan Kampung Banjar, Batu Caves berkata, beliau akan meminta kebenaran pemimpin Pas Pusat untuk bertanding atas tiket parti itu.
Walau bagaimanapun menurutnya, beliau akan tetap akan bertanding dalam PRK berkenaan atas tiket Bebas sekiranya tidak dibenarkan pemimpin Pas Pusat.
Tambahnya, beliau mengambil keputusan bertanding dalam PRK berkenaan bagi memperjuangkan hukum hudud Pas supaya dapat dilaksana di negeri ini menjelang 2020.
Jika Kelantan sudah bersedia untuk melaksanakan hukum hudud, mengapa tidak Pulau Pinang sedangkan negara ini merupakan negara Islam," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengambil borang penamaan calon di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan beliau akan dipecat sebagai ahli Pas ekoran menawarkan diri bertanding dalam PRK berkenaan yang turut akan ditandingi DAP, Mohamed Nabi Bux berkata, beliau yakin tidak akan dikenakan tindakan sedemikian.
Malah, beliau turut menaruh keyakinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menghalang hasratnya bertanding dan akan memberinya peluang memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud parti itu di negeri ini.
Apa-apa pun yang berlaku saya juga tidak akan keluar daripada Pas," katanya.
PRK Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tapah, Perak bulan lalu.
Setakat ini, selain Mohamed Nabi Bux, tiga pihak lain turut menawarkan diri bertanding dalam PRK berkenaan iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, wakil parti yang baharu dibentuk, Penang Front Party (PFP) dan calon bebas, Mohd. Yacoob Mohd. Noor.
Dalam pada itu, DAP dijangka mengumumkan calon mereka esok manakala Barisan Nasional (BN) yang mana kerusi tersebut sebelum ini diperuntukkan kepada MCA sehingga kini belum membuat sebarang pengumuman rasmi. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment