![]() |
| Mah Siew Keong |
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan itu diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memutuskan siapa calon yang layak untuk bertanding.
Siew Keong turut mengesahkan pihaknya telah menghantar beberapa cadangan senarai calon daripada Gerakan kepada pucuk pimpinan BN bagi menghadapi PRK Teluk Intan.
Namun, beliau tidak menyebut jumlah calon yang dimaksudkan termasuk kemungkinan beliau sendiri turut tersenarai.
Memang kita hantar beberapa cadangan nama calon untuk perhatian Perdana Menteri dan diharap keputusan itu dapat dibuat secepat mungkin memandangkan kita sudah kesuntukan masa.
Saya jangka PM akan buat keputusan itu minggu depan dan jika diumumkan sebagai calon, saya sudah bersedia serta akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN di Teluk Intan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog tertutup dengan pemimpin serta ahli Gerakan cawangan Terengganu di pejabat parti itu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, beberapa anggota jawatankuasa Gerakan pusat dan kepimpinan parti peringkat negeri termasuk Pengerusinya, Datuk Yap Kea Ping.
Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kematian penyandang-nya, Seah Leong Peng akibat penyakit barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.
Siew Keong berkata, sekiranya pucuk pimpinan BN tidak meletakkan wakil daripada Gerakan sebagai calon, pihaknya tetap menerima keputusan itu secara positif dan akan terus memberi sokongan padu kepada calon berkenaan.
Siapa calon tidak penting, kita akan tetap beri sokongan padu kepada sesiapa saja yang jadi calon, kita akan kerja keras untuk pastikan BN menang di Teluk Intan.
Kita yakin dapat sokongan lebih besar di kawasan itu berban-ding pilihan raya lalu di mana ada sedikit masalah antara parti-parti komponen BN, tapi kali ini kita akan kembali bersatu dan yakin beri tentangan hebat kepada calon DAP," katanya.
Ditanya jika calon yang ditampilkan nanti adalah daripada MCA, Siew Keong berkata, berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, beliau yakin calon paling sesuai adalah daripada Gerakan.
Ini kerana, jelasnya, secara konvensyen, calon yang bertanding di kawasan itu sepatutnya daripada Gerakan, sama seperti kesinambungan calon bagi PRK Kajang dan Bukit Gelugor di mana calonnya adalah daripada MCA.
Dalam pada itu, Kea Ping turut mengumumkan parti Gerakan Terengganu dengan sebulat suara memberi sokongan kepada Siew Keong untuk bertanding pada PRK Teluk Intan. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment