My Add

Thursday, 8 May 2014

Ahmad Said enggan ulas isu MB bertukar

HULU TERENGGANU, RABU, 07 Mei, 2014: Soal pertukaran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang reda selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak khabar angin disebarkan mengenai pertukaran beberapa teraju kepimpinan negeri baru-baru ini, kini kembali hangat.

Namun, Ahmad sekali lagi memperlihatkan beliau tidak mengambil endah dan tidak mahu mengulas lagi spekulasi yang dicetuskan semula dengan mengaitkan sumber dari Putrajaya bahawa proses itu akan dilakukan dalam waktu terdekat.

"No comment, no comment... (tiada komen) terpulanglah," demikian reaksi Ahmad Said sambil tersenyum ketika diajukan beberapa pertanyaan berhubung kedudukannya selepas setahun meneruskan tanggungjawab itu buat penggal kedua.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Tasik Kenyir dekat sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini memetik sumber dari Putrajaya sebagai berkata, Putrajaya meminta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu agar 'bersiap sedia' untuk menggantikan Ahmad sebagai Menteri Besar yang baharu.

Sumber itu menyebut peralihan kuasa itu berkemungkinan berlaku dalam tempoh 15 Mei hingga 18 Mei ini.

Perdana Menteri semasa mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, April lalu, mempersoalkan spekulasi itu dengan berkata: "Siapa yang kata kita nak tukar Menteri Besar?"

Dua ADUN berkenaan yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar itu ialah Exco kerajaan negeri yang juga ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman dan ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment