My Add

Friday, 9 May 2014

Air: Kerajaan PKR Selangor jangan ghairah tuding jari - Shamsudin

 Mohd. Shamsudin Lias
SHAH ALAM, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak perlu ghairah menyalahkan pihak lain termasuk syarikat-syarikat konsesi perkhidmatan air mengenai masalah kekurangan sumber itu yang dihadapi oleh para pengguna di Lembah Klang ketika ini.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, sikap kerajaan negeri menyalahkan pemegang konsesi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai punca krisis adalah tidak wajar, apatah lagi mengaitkannya dengan kegagalan syarikat itu menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW) daripada 30 peratus kepada 20 peratus.

Katanya, meskipun pengurangan NRW merupakan antara syarat perjanjian penswastaan, kerajaan negeri sebaliknya perlu melihat semula keputusan mereka sebelum ini yang dimaklumkan tidak memberikan apa-apa bantuan kewangan kepada syarikat konsesi terbabit sebagai perbelanjaan modal (Capex) bagi melaksanakan kerja-kerja menurunkan kadar NRW.

"Jika kerajaan negeri mengambil pendekatan 'menang-menang' dengan syarikat konsesi dari awal lagi, saya percaya masalah NRW dan krisis bekalan air terawat yang dihadapi para pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak akan berlaku.

"Kerajaan negeri sepatutnya melihat kepentingan rakyat daripada kepentingan politik. Sikap tuding-menuding jari, menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain Capex, kerajaan negeri juga difahamkan menolak permohonan syarikat konsesi untuk menaikkan tarif air sejak 2008 sebagai satu cara meningkatkan keupayaan kewangan bagi membolehkan usaha mengurangkan NRW dilakukan, selain membangunkan taraf perkhidmatan air di negeri ini.

Pada 21 Februari lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi laporan sebuah portal berita, www.freemalaysiatoday.com menyatakan punca utama kepada masalah kekurangan bekalan air terawat adalah kehilangan NRW disebabkan kebocoran paip.

Meskipun tidak menyalahkan Syabas 100 peratus, Abdul Khalid berkata, usaha mengurangkan NRW adalah tanggungjawab syarikat konsesi terbabit.

Dalam pada itu, Mohd. Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung menjelaskan, krisis air yang berlaku di negeri ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri bersikap terbuka membenarkan pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) sejak awal lagi.

"Jika kerajaan negeri membenarkan Langat 2 dibina pada 2010, loji itu mungkin telah siap pada tahun ini dan sekali gus mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air terawat.

"Bagaimanapun, pembinaan itu tidak berlaku kerana kerajaan negeri menolaknya sebelum ini dengan alasan mahu menstruktur industri air Selangor.

"Kerajaan negeri tidak memikirkan pelan jangka panjang dalam soal jaminan bekalan air untuk rakyat. Sekarang, apabila berlaku krisis barulah kerajaan negeri kelam-kabut nak cari sumber air untuk atasi krisis," ujarnya. - UTGUSAN

No comments:

Post a Comment