Semua pihak harus patuhi langkah JKKN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Sembilan langkah drastik yang diputuskan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) untuk meningkatkan kawalan keselamatan beberapa pulau di Sabah sudah memadai sekiranya semua pihak mematuhi arahan yang dikeluarkan jawatankuasa berkenaan.
Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Dr. Shaharuddin Awang Yahya berkata, pasukan keselamatan memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak terutamanya rakyat dan pengusaha resort di negeri itu.
"Sembilan langkah drastik yang diputuskan seperti mengehadkan pergerakan keluar masuk dan setiap urusan perlu mendapat kebenaran serta permit daripada polis perlu dipatuhi walaupun ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selesa kepada rakyat.
"Pengusaha resort pulau di Sabah juga perlu menitikberatkan soal latar belakang pekerja memandangkan kebanyakan mereka turut menggaji rakyat Filipina sebagai pekerja kerana kita khuatir mereka inilah yang menyalurkan maklumat kepada penculik tentang pergerakan pelancong," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sembilan langkah drastik itu diputuskan JKKN yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bagi menangani kes penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Antaranya, bakal melaksanakan perintah berkurung di beberapa kawasan berisiko tinggi, termasuk mengehadkan pergerakan keluar masuk manakala setiap urusan perlu mendapat kebenaran serta permit daripada polis.
Selain itu, pergerakan bot dan kapal juga diwajibkan mengikuti laluan yang dibenarkan dengan dipantau secara terus oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di pangkalan hadapan yang bakal diwujudkan di kawasan strategik. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment