My Add

Thursday, 8 May 2014

Angkasa peruntuk RM5.8 juta bina 47 rumah di Melaka

KUALA LUMPUR RABU,,0 7 Mei, 2014: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperuntukkan RM5.8 juta bagi membina 41 unit rumah teres setingkat dan enam unit rumah teres dua tingkat untuk ahlinya di Melaka tahun ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, rumah-rumah yang bakal dibina dalam tempoh tiga bulan lagi merupakan inisiatif merealisasikan impian ahli-ahlinya memiliki rumah sendiri.

Katanya, projek perumahan itu dijangka mengambil masa 24 bulan untuk siap sepenuhnya akan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh Angkasa, MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. (MABSB), bersama Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad.

"Penglibatan Angkasa dalam sektor perumahan merupakan usaha merealisasikan hasrat kerajaan melihat sektor koperasi bergiat secara aktif dalam bidang hartanah. Kerana itu, kami mengambil keputusan untuk terlibat secara langsung serta serius dalam bidang perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Angkasa dengan Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif MABSB, Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa dan Pengerusi Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad, Datuk Long Said dan setiausahanya, Syarif Ahmad.

Tambah Abdul Fattah, Angkasa akan memperuntukkan modal bagi projek tersebut manakala MABSB dilantik sebagai pengurus projek sehingga projek berkenaan siap untuk diserahkan kepada koperasi dan pembeli.

"Rumah-rumah ini akan dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar milik Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad dengan harga jualan kira-kira RM139,000 untuk rumah teres setingkat dan RM280,000 bagi rumah teres dua tingkat," jelasnya.

Menurutnya, buat masa ini, Angkasa memiliki lapan juta ahli dan 11,200 koperasi serta daripada jumlah itu 400 koperasi terlibat dalam bidang pembinaan.

"Dijangka lima lagi koperasi akan bekerjasama membina rumah di atas tanah seluas kira-kira 90 hektar dalam tempoh terdekat. Berdasarkan keluasan tanah itu, kami menjangka 500 unit rumah lagi bakal dibina," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan serta memberi pengecualian pembayaran deposit RM500,000 terhadap mana-mana koperasi yang terlibat dalam projek pembinaan rumah dalam usaha menggalakkan koperasi terlibat dalam projek pembinaan.

"Sebelum ini tiada perkara tersebut (deposit) namun selepas undang-undang baharu dipinda, setiap koperasi yang merancang untuk membina rumah perlu membayar wang deposit sedangkan rumah yang dibina adalah untuk kemudahan ahli-ahli. Kami tidak melihat keperluan atau kelebihan deposit berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment