Perdasama sambut baik cadangan pengambilalihan PLUS
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mei, 2014: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menyambut baik cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kepada syarikat swasta yang dikaitkan dengan Idaman Saga (Idaman Saga) Sdn. Bhd., milik Tan Sri Halim Saad.
Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, walaupun cadangan itu dilihat masih samar namun persatuan itu menganggap langkah pengambilalihan tersebut harus dipertimbangkan bagi meringankan beban rakyat.
"Perdasama beranggapan cadangan itu harus dipertimbangkan bagi meringankan beban rakyat sekali gus menurunkan kos tanggungan rakyat dan dapat mengurangkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan setiap tahun," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 25 Mac lalu melaporkan Halim melalui syarikatnya, Idaman Saga berhasrat mengambil alih PLUS dengan cadangan terbarunya kepada kerajaan untuk mengekalkan kadar tol pada paras semasa.
Isu pengambilalihan itu bagaimanapun dibantah oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana bagi pertubuhan itu, PLUS merupakan tulang belakang dan pemacu kepada perkembangan ekonomi negara.
Naib Presiden Perkasa, Syed Osman Syed Mansor semalam berkata, PLUS yang kini dimiliki bersama dua syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan UEM Bhd. (UEM) selama ini juga telah diurus dengan baik.
Menurut Moehamad Izat, tidak dinafikan kedua-dua agensi kerajaan ini menunjukkan prestasi yang baik malah kedua-dua agensi tersebut mendapat manfaat daripada pelaburan mereka dan disalurkan kepada rakyat.
"Bagaimanapun saya percaya cadangan baharu yang dikemukakan oleh Tan Sri Halim Saad itu tidak harus diketepikan. Ini kerana, PLUS merupakan tunjang yang menghubungkan negeri-negeri di Malaysia dan merupakan landasan utama sektor pelancongan dalam negeri.
"Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat malah merancakkan ekonomi negara," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment