![]() |
* bNAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor bersama ketua-ketua kerajaan negara anggota ASEAN dan isteri ketika menghadiri jamuan makan malam yang dihoskan oleh Presiden Myanmar, U Thein Sein (tujuh dari kiri) dan isteri, Daw Khin Khin Win (lapan dari kiri) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-24 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar di Nya Pyi Taw, Myanmar, malam tadi - BERNAMA |
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, para menteri luar 10 negara anggota ASEAN itu telah mengadakan konsultasi dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang diadakan di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24, yang berlangsung dari 8 Mei hingga 11 Mei.
Katanya, kenyataan itu dikeluarkan sehari sebelum ketua-ketua kerajaan ASEAN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mula mengadakan mesyuarat dan permukiman mereka esok sempena sidang kemuncak berkenaan.
Kenyataan tersebut dilihat penting berikutan konfrontasi antara kapal perang China dan Vietnam berdekatan Pulau Paracels pada minggu lalu, apabila China menghantar kapal pelantar minyak memasuki kawasan yang dianggap zon ekonomi Vietnam.
Agensi berita Kyodo News melaporkan semalam, Vietnam dan Filipina akan membangkitkan isu tindakan provokatif China di Laut China Selatan itu pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.
Pegawai diplomat Vietnam dan Filipina berkata, tindakan China yang menuntut wilayah maritim itu melanggar Pengisytiharan Tatalaku Laut China Selatan yang ditandatangani China dan 10 negara anggota ASEAN pada 2002, lapor Kyodo News.
Selain kenyataan mengenai pergeseran terbaharu di Laut China Selatan itu, sidang kemuncak di pusat pentadbiran kerajaan Myanmar ini dijangka akan turut mengeluarkan Deklarasi Nay Pyi Taw mengenai penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015.
Sidang itu juga akan memperakui Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-24: "Melangkah Padu ke Hadapan ke Arah Komuniti yang Aman dan Makmur"; dan Terma Rujukan Setiausaha Agung ASEAN sebagai Penyelaras Bantuan Kemanusiaan ASEAN.
ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Sementara itu, Najib, yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN itu, yang julung-julung kali dianjurkan oleh Myanmar selepas menganggotai pertubuhan serantau itu pada 1997.
Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw pada kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) telah disambut oleh Duta Malaysia ke Myanmar, Datuk Dr. Ahmad Faisal Mohamad dan Menteri Pengangkutan Darat Myanmar, U Than Htay. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment