My Add

Sunday, 11 May 2014

Obes, strok membimbangkan

Oleh HAKIMI ISMAIL
 
 * MUHYIDDIN Yassin, isterinya, Noorainee Abdul Rahman (dua, kanan) dan P. Kamalanathan bersama para pelajar dalam program Jalan Ria 1Murid 1Sukan sempena Program Kecergasan Kementerian Pendidikan 2014 di Dataran Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA, SABTU, 10 Mei, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat untuk membentuk modal insan cergas yang bebas daripada penyakit.

Beliau menarik perhatian ini berikutan tinjauan kesihatan dan morbiditi Kementerian Kesihatan mendapati data terbaharu rakyat Malaysia yang obes meningkat daripada 14.9 peratus pada tahun 2006 kepada 15.2 peratus (2011).

Situasi itu, kata beliau, merupakan trend yang semakin membimbangkan dan memberikan ancaman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu kajian Persatuan Strok Kebangsaan (Nasam) mendapati setiap daripada enam rakyat Malaysia akan diserang strok.

“Ini bermakna setiap tahun dianggarkan sebanyak 40,000 rakyat negara ini diserang penyakit berkenaan. Saya difahamkan kedua-dua penyakit obesiti dan strok ini menyerang badan kita ibarat api di dalam sekam iaitu kehadirannya tanpa kita sedari.

“Sebagai langkah bijak menghindari serta pengawalan penyakit ini, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai amalan seharian," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Jalan Ria 1Murid 1Sukan sempena Program Kecergasan Kementerian Pendidikan 2014 di Dataran Istana Kehakiman di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Datuk Mary Yap Kain Ching serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Madinah Mohamad.

Majlis Jalan Ria 1Murid 1Sukan sempena Program Kecergasan Kementerian Pendidikan itu dimeriahkan dengan kehadiran 15,000 pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Dalam majlis berkenaan, kesemua peserta termasuk Muhyiddin berjalan kaki sejauh lima kilometer di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Muhyiddin berkata, tahap kesihatan yang terjaga diyakini mampu membuatkan seseorang individu itu memperoleh kehidupan lebih bahagia.

“Walaupun kita berilmu tinggi, berharta, berpangkat tinggi atau memiliki berjuta-juta aset, kecergasan dan kesihatan tubuh badan tidak dapat ditukar ganti dengan segala-galanya.

“Justeru, penyertaan di dalam aktiviti Jalan Ria 1Murid 1Sukan ini anggaplah sebagai langkah pertama ke arah pengamalan gaya hidup sihat.

“Teruskanlah aktiviti berjalan kaki ini supaya kekal menjadi satu amalan gaya hidup sihat bagi kita semua dan memperkukuh lagi Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan sebelum ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment