My Add

Friday, 9 May 2014

Budaya samseng, politik jalanan punca pemilihan PKR kecoh

 Ruslan Kassim
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Kekecohan yang berlaku dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan mempunyai kaitan dengan budaya samseng dan politik jalanan yang diamalkan parti itu.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim berkata, budaya tersebut adalah asing bagi rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap bersopan, saling bertolak ansur dan menggunakan pendekatan berunding untuk menyelesaikan masalah.

Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan pemimpin-pemimpin PKR gagal melaksanakan budaya politik berhemah yang sering mereka canangkan kepada penyokong mereka.

"Kita dapat melihat di dalam PKR sekarang berlaku hiruk-pikuk, bergaduh, budaya samseng dan politik jalanan yang sama sekali amat asing dengan budaya yang diamalkan masyarakat di negara ini.

"Lebih menghairankan, pucuk pimpinan PKR selama ini begitu lantang mengkritik Barisan Nasional (BN) namun mereka sendiri gagal menyelesaikan masalah dalaman parti sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan PKR yang bermula 26 April lalu dilanda pelbagai masalah seperti dakwaan wujud pengundi hantu, manipulasi undi, kertas undi tidak mencukupi, nama calon tidak disenaraikan dan bekalan elektrik terputus sehingga mencetuskan kekecohan di beberapa cabang parti itu di seluruh negara.

Berikutan masalah-masalah tersebut, proses pemilihan di beberapa cabang termasuk Nibong Tebal, Lumut, Sungai Petani, Kemaman, Bukit Katil, Setiu, Kuala Nerus, Dungun, Paya Besar dan Jerantut terpaksa diadakan semula.

Ruslan menambah, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul turut menjadi sasaran kritikan ahli-ahli parti kerana didakwa tidak telus dan mengamalkan pilih kasih ketika mengambil tindakan.

"Beberapa pemimpin PKR yang bertanding mendakwa Johari lebih cenderung memihak kepada calon-calon yang sealiran dengan beliau," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar memberitahu, pemimpin-pemimpin PKR sepatutnya melupakan angan-angan untuk memerintah negara berikutan kegagalan mereka memastikan pemilihan parti dijalankan secara adil dan telus.

"Agak melucukan kerana segala tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin PKR terhadap BN dan UMNO terkena pada batang hidung mereka sendiri," ujarnya.

Malah, beliau berkata, amalan nepotisme juga terbukti subur di dalam PKR apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka, Nurul Izzah Anwar menggunakan kekuatan masing-masing untuk mengekalkan penguasaan `Istana Segambut' di dalam parti itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment