My Add

Friday, 9 May 2014

PKR perlu bersih sebelum mengata orang

ALOR SETAR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: "Tengok diri sendiri dahulu sebelum mahu mengata orang."

Itu teguran sinis bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zaidi Othman kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Beliau yang juga wakil calon Ketua Cabang Sungai Petani, Tan Chow Kang berkata, kenyataan itu turut dimuatkan dalam surat bantahan yang dihantar kepada JPP dan calon Timbalan Presiden, Azmin Ali, Isnin lalu.

"Kita kata pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) macam-macam tetapi apabila tiba giliran kita, diri sendiri yang main kotor. Tidakkah kita malu?

"Sepatutnya kita malu pada semua pihak termasuk rakan dalam pakatan pembangkang dan UMNO. Jadi nasihat saya, bersihkan diri sendiri dahulu sebelum beria benar menuduh orang itu dan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan parti itu di beberapa kawasan baru-baru ini berlangsung panas dengan pelbagai isu sehingga hampir berlaku pergaduhan sesama sendiri di dewan pengundian.

Keadaan itu menyebabkan Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul mengeluarkan kenyataan menyatakan pemilihan semula akan diadakan di 17 cabang PKR termasuk di kawasan yang diketuainya iaitu di Sungai Petani.

Zaidi menambah, beliau kesal kerana bantahan yang dibuat pada hari pengundian tidak langsung diendahkan sehinggalah perkara ini dibawa ke pengetahuan pusat.

"Terlampau banyak kepincangan pada pemilihan kali ini. Bukan saja nama calon Ketua AMK hilang malah ada beberapa calon bertanding juga dibenarkan berada dalam pusat pengiraan undi bagi membuat kiraan.

"Lebih pelik, ramai pengundi yang hadir tidak dibenarkan berbuat demikian atas alasan nama mereka sudah tiada pada daftar JPP. Sedangkan daftar nama terbaru yang kami peroleh dari cabang mengatakan mereka layak me­ngundi. Sebab itu kami katakan pengundian kali ini tidak telus," katanya.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua Cabang, Ishak Man mendakwa keputusan daripada pengundian di cabang Sungai Petani adalah tidak logik dan jelas menampakkan cuba diatur untuk memenangkan calon tertentu.

Menurutnya, sebagai penyandang jawatan itu, beliau sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila sering diketepikan dalam mesyuarat melibatkan parti setiap kali Johari pulang ke kawasan.

"Tiba di hari pengundian, bermacam perkara terjadi termasuk calon bebas keluar masuk dewan pengundian selain keputusan yang meragukan.

"Disebabkan itu, kalau Johari dibenarkan sekali pun untuk meneruskan tugasnya sebagai pengerusi JPP, saya harap dia tidak hadir pada hari pemilihan semula itu nanti agar pemilihan lebih telus," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment