My Add

Sunday, 11 May 2014

Bukti kejayaan sistem beraja

 * TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah sebak ketika mempersembahkan perutusan taat setia pada Istiadat Persembahan Ikrar Taat Setia Istiadat Menjunjung Duli Dan Istiadat di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.
PEKAN, SABTU, 10 Mei, 2014: Berdiri teguh rakyat negeri ini sepanjang tempoh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersemayam di atas takhta kerajaan sejak 40 tahun lalu membuktikan kejayaan sistem raja berperlembagaan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sistem ini yang merupakan gabungan antara sistem beraja dengan demokrasi terbukti berjaya mengimbangi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Titah baginda, jalinan yang erat dan saling memerlukan berjaya mengatasi kelemahan tradisi masing-masing yang membawa kemakmuran di negara-negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

“Sehubungan itu, keistimewaan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia adalah unik dan terbaik hingga akhir zaman.

“Justeru, semua rakyat perlu berdiri teguh mempertahan sistem yang telah diamalkan di negara ini," titah baginda ketika mempersembah perutusan taat setia dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah, pemerintahan Sultan Ahmad Shah selama 40 tahun berlalu penuh kesempurnaan dan membawa pelbagai kesejahteraan kepada rakyat manakala negeri membangun dengan pesatnya.

“Patik percaya dengan kesihatan yang mengizinkan dan iltizam yang kuat, ayahanda akan meneruskan kegemilangan ini.

“Dengan dokongan pentadbir negeri sedia ada yang dedikasi dan komited di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kegemilangan pemerintahan ayahanda akan terus terserlah," titah baginda.

Sementara itu, Adnan dalam ucapan persembahan ikrar taat setianya pula melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana mentakdirkan Sultan Ahmad Shah terus bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan kerajaan sejak 40 tahun lalu.

“Selama 40 tahun di atas singgahsana takhta, ke bawah duli tuanku telah melaksanakan tugas diraja, memayungi negeri dan rakyat jelata dengan sangat cemerlang.

“Tuanku telah mencapai satu tahap pemerintahan yang menginstitusi dan meletakkan penanda aras kepada perkara-perkara tertentu," katanya.

Adnan berkata, Sultan Ahmad Shah adalah seorang raja yang mempunyai kemahiran komunikasi sangat tinggi, selain bijaksana dan mempunyai ilmu psikologi kerana boleh berhubung dengan rakyat pelbagai lapisan.

“Ini membolehkan rakyat ketika menghadap tuanku berasa selesa. Sifat keprihatinan tuanku yang berhati emas di sebalik wajah yang tegas juga telah termasyhur di seluruh negeri dan negara," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment