My Add

Sunday, 11 May 2014

Kepentingan rakyat jadi keutamaan

Oleh HERMAN HAMID

 * SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah berdoa selepas merasmikan Masjid Sungai Isap Fasa 3 sempena Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Sultan Pahang di Kuantan, semalam. Turut berangkat, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman. Hadir sama, Adnan Yaakob . - MINGGUAN/MAHATHIR ALI
PEKAN, SABTU, 10 Mei, 2014: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, kepentingan rakyat adalah perkara yang sentiasa menjadi keutamaan baginda sepanjang bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan negeri sejak 40 tahun lalu.
Titah baginda, ini bertepatan dengan kata-kata 'raja dan rakyat berpisah tiada' yang membawa erti dan implikasi sangat signifikan bahawa raja dan rakyat wujud bersama-sama dengan raja menjaga kepentingan rakyat dan rakyat pula menumpu sepenuh taat setia kepada raja.

“Itulah sebabnya beta melafazkan kata-kata, rakyat beta urusan beta (kerana) tidak ada yang lebih menyukakan hati beta, selain daripada melihat rakyat berada dalam keadaan selesa," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan baginda di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Yang turut berangkat Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah bertitah, seluruh rakyat negeri ini perlu memelihara perpaduan kerana perkara itu menjadi asas kepada keamanan yang seterusnya membawa kestabilan, kemajuan dan kemakmuran.

“Dalam masyarakat berbilang kaum, perpaduan yang harmoni boleh menjamin keamanan, sekali gus membolehkan pelbagai program disusun untuk manfaat rakyat jelata," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Pahang bertitah, nilai-nilai baik yang menjadi asas rakyat selama ini perlu dikekalkan walaupun cara berfikir dan tingkah laku kini berubah disebabkan pertembungan dengan dunia luar.

Titah baginda, nilai-nilai murni meliputi amalan baik, menghormati ibu bapa, orang tua, bertolak ansur dan tolong-menolong boleh dipanjangkan kepada amalan menghormati institusi masyarakat, mematuhi undang-undang serta memiliki disiplin diri.

“Yang penting beta berharap rakyat dapat berfikir dengan matang dan akhirnya mempertimbang mana yang baik dan buruk kepada masyarakat," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah turut merakamkan penghargaan atas sokongan padu Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat kepada pembangunan negeri ini.

“Beta berasa terharu kerana semasa bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan 40 tahun yang lalu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain adalah Perdana Menteri dan pada hari ini, semasa merayakan ulang tahun ke-40 pemerintahan beta, anakandanya pula, Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri," titah baginda.

Dalam titah baginda, Sultan Ahmad Shah turut berkongsi dua detik sedih sepanjang tempoh bersemayam di atas takhta kerajaan iaitu ketika pemergian ke rahmatullah Almarhumah Tengku Ampuan Pahang, Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad dan bonda baginda, Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang, Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Dalam nada sebak, Sultan Ahmad Shah bertitah, pemergian kedua-dua Almarhumah itu amat menyedihkan tetapi reda dengan ketentuan Allah dan mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment