My Add

Tuesday 27 May 2014

Cadbury bakal dikenakan tindakan jika sengaja

PUTRAJAYA, ISNIN 26 Mei, 2014: Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. bakal berdepan tindakan tegas sekiranya didapati dengan sengaja memasukkan bahan yang mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) ke dalam coklat keluaran syarikat itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, tindakan itu akan diambil di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 untuk melindungi orang awam daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara berkaitan dengannya.

Beliau berkata, akta itu memerlukan pihak pengilang bertanggungjawab memastikan setiap ramuan dinyatakan dengan jelas pada label sesuatu produk bagi membolehkan pengguna membuat pemilihan sama ada halal atau tidak.

"Sehubungan itu, pihak kementerian akan menjalankan lawatan pemeriksaan terhadap kilang pembuatan coklat berkenaan dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

"Hal demikian kerana kita tidak menolak kemungkinan berlaku pencemaran dalam rantaian pembuatan coklat berkenaan dan keputusan mengenainya hanya akan diketahui selepas beberapa bulan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Subramaniam berkata, semua urusan yang berkaitan dengan pensijilan halal akan terus dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jelasnya, kementerian pula akan memperluas pemantauan dan pemeriksaan kepada semua jenis produk bagi memastikan kandungan ramuan adalah bertepatan dengan maklumat pada label yang dipamerkan.

"Selain itu, penguatkuasaan terhadap pematuhan standard makanan dan pelabelan serta kebersihan makanan juga akan ditingkatkan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak industri dan pengimport bertanggungjawab memastikan semua produk mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan.

Ketika ditanya kelewatan untuk mengesahkan perkara tersebut, jelasnya, terdapat beberapa prosedur yang perlu dilaksanakan untuk menganalisis sampel coklat yang diambil dari Kedah dan Perlis pada Februari lalu itu.

"Antaranya melibatkan pemeriksaan awal dan ujian pengesahan yang mengambil masa. Keputusan muktamad mengenainya hanya dikeluarkan pada bulan ini kepada Pejabat Kesihatan Perlis.

"Tetapi satu salinan surat telah bocor lebih awal di laman media sosial sehingga menyebabkan berita itu tersebar kepada orang ramai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment