My Add

Tuesday, 27 May 2014

Radar Martello perlu dinaik taraf - Rodzali

KUANTAN, ISNIN 26 Mei, 2014: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menaik taraf keupayaan teknologi radar pa­sukan itu selewat-lewatnya tahun depan, kata Panglimanya, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Beliau berkata, antara radar dan pengesan yang menjadi keutamaan untuk dinaik taraf adalah radar pertahanan udara Martello.

Sehubungan itu, kata beliau, TUDM telah mengusulkan penambahbaikan berkenaan kepada kerajaan dan perkara itu sudah pun disenaraikan pada Rancangan Malaysia Ke-11 kelak.

"Radar Martello telah digunakan sejak lebih 15 tahun lalu justeru, selaras dengan langkah pemodenan TUDM, kemajuan teknologi itu juga perlu dipertingkatkan.

"Jika dilihat pertahanan sesebuah negara serta kemampuan angkatan perangnya, mereka banyak bergantung kepada kuasa udaranya iaitu kekuatan mempertahankan ruang udara.

"Sesebuah negara perlu mengkaji keperluan melancarkan serangan dalam tempoh yang singkat. Untuk itu, kita perlu melihat kembali keperluan TUDM lain dalam memperkasakan pertahanan udara negara," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Hari Sambutan TUDM Ke-56 di sini hari ini.

Radar Martello kini beroperasi di Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Bukit Lunchu, Johor sejak 1995.

Dalam pada itu, Rodzali berkata, projek penggantian pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) MiG-29N Fulcrum yang dijangka ditamatkan perkhidmatannya pada tahun depan perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, langkah ke arah penggantian itu perlu dimulakan segera agar tidak berlaku suasana di mana negara tidak memiliki MRCA bagi tugas-tugas mempertahankan ruang udara negara.

"Langkah perlu dilakukan sekarang kerana perolehan baharu MRCA itu akan mengambil masa yang lama," kata beliau.

Selain itu, pihaknya turut mengusulkan agar pesawat kawalan dan amaran udara (AWACS) yang telah digunakan TUDM sejak 50 tahun lalu digantikan bagi memberi nilai tambah kepada operasi helikopter baharu pasukan itu, Eurocopter 725 (EC725).

Sementara itu Rodzali berkata, tema 'Kuasa Udara Kuasa Negara' dipilih sempena sambutan ulang tahun TUDM yang ke-56 pada tahun ini yang disambut setiap 1 Jun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment