![]() |
* TAJUDIN Abdul Rahman mengendalikan jentera penuai semasa pelancaran Dana Kebajikan Subsektor Padi Peringkat Kebangsaan 2014 di Besut, Terengganu, semalam. |
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif di bawah jihad subsektor padi itu merupakan satu skim pembiayaan mudah bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menghapuskan manipulasi orang tengah dalam sektor ini.
Setiap Pertubuhan Peladang yang menjalankan operasi Pusat Belian Padi akan diperuntukkan sebanyak RM100,000 sebagai pinjaman mudah kepada petani dan pesawah.
Oleh demikian, petani tidak perlu lagi membuat pinjaman daripada pembeli swasta atau broker seperti yang terjadi sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Dana Kebajikan Subsektor Padi Peringkat Kebangsaan 2014 di Pusat Pengumpulan Padi Kawasan (PPK) Gerai, Kampung Alor Keladi di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Zainal Dahalan dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahri Suib.
Difahamkan terdapat lebih 200,000 petani dan pesawah di seluruh negara yang bakal mendapat manfaat itu kelak.
Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan peruntukan itu nanti difahamkan akan diselaraskan apabila petani menjual hasil padi mereka di Pusat Pengumpulan.
Maka, katanya, peruntukan itu akan kekal dari segi jumlah asal bagi membolehkan orang lain mendapat faedah pada masa akan datang.
Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius permasalahan yang dihadapi petani dan memberikan keutamaan untuk menyelesaikan setiap perkara berbangkit.
Dalam isu kualiti padi misalnya, saya telah mengarahkan semua Pertubuhan Peladang, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pertanian agar memainkan peranan memberi khidmat nasihat bagi memastikan petani mendapat kaedah dan cara terbaik dalam sistem penanaman padi hingga mampu mencapai tahap Amalan Pertanian Baik (GAP).
Saya percaya dalam tempoh dua tahun ke hadapan ini, petani akan menikmati pemotongan padi yang rendah bagi membolehkan mereka menikmati hasil lebih baik," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment