![]() |
* PERSEMBAHAN teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang di lakonkan oleh Nasha Aziz dan Adi Putra. Turut dibantu Fizo Omar, Liza Aziz, Yasmin Hani, Elfira Loy, Dafi dan beberapa lagi artis ternama di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam semalam. - MINGGUAN/SHAHRIN SHAH |
Diangkat daripada novel karya penulis dan ulama terkenal, Allahyarham Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof. Hamka, teater berkenaan ditonton kira-kira 1,000 orang pada malam pertama pementasannya.
Naskhah teater lakonan Adi Putra, Nasha Aziz, Ahmad Zahid Baharudin, Fizo Omar, Elfira Loy, Yasmin Hani, Dafi Ismail, Dayana Roza, Liza Abdullah, Taufiq Izmir dan ramai lagi itu diarah dan ditulis oleh Rosminah Tahir.
Pementasan teater yang bermula malam semalam hingga 18 Mei ini adalah terbitan Istana Budaya dan CTRA Production.
Karya penulis Minangkabau itu juga pernah difilemkan pada 1978 dan 2011, sekali gus mencipta sejarah sebagai filem paling mahal dihasilkan di Indonesia dengan kos RM9.3 juta.
Di Bawah Lindungan Kaabah mengisahkan seorang pemuda bernama Hamid yang dilahirkan sebagai manusia yang baik, bersopan-santun, patuh kepada ibu dan tidak pernah meninggalkan suruhan Allah S.W.T sejak kecil.
Dia dibesarkan dalam kehidupan yang susah, menumpang kasih dan ilmu agama dari Engku Hj. Jaafar dan Mak Asiah serta membesar bersama anak mereka bernama Zainab.
Setelah remaja, Hamid dan Zainab menyimpan perasaan kasih sayang antara mereka tetapi hanya tersimpan dalam hati.
Hamid yang cuba menyingkirkan perasaan itu kerana telah menganggap Zainab sebagai adik sendiri, membawa diri mengembara hinggalah ke Tanah Suci Mekah.
Ketika di tanah haram itulah, banyak perkhabaran sedih diterima melalui sahabat baiknya, Salleh dan isterinya Rosnah.
Hamid sendiri meninggal dunia sebaik sahaja selesai mengerjakan haji pada usia 34 tahun. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment