Deklarasi realisasikan Komuniti ASEAN
NAY PYI TAW, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24 di sini dari 8 hingga 11 Mei ini bakal menerima pakai Deklarasi Nay Pyi Taw bagi Merealisasikan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.
Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, deklarasi yang akan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan garis tindakan yang masih belum selesai bagi Pelan Hala Tuju Komuniti ASEAN (AC).
Ia juga memberi penekanan terhadap penggubalan dokumen seterusnya kepada Pelan Hala Tuju Visi Komuniti ASEAN Pasca-2015.
Deklarasi itu juga akan mengulangi komitmen ASEAN dalam usaha kolektifnya terhadap pasaran tunggal dan berasaskan pengeluaran serta menyelaras mekanisme hubungan luar ASEAN bersama-sama rakan-rakan dialog, organisasi serantau dan kumpulan ekonomi," kata Wisma Putra.
Perdana Menteri akan tiba esok untuk menghadiri mesyuarat dan pemukiman ketua-ketua kerajaan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 10 dan 11 Mei bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Selain menerima pakai Deklarasi Nay Pyi Taw, sidang kemuncak, yang julung-julung kali dianjurkan oleh Myanmar sejak menjadi anggota ASEAN pada 1997, akan juga memperakui Terma Rujukan Setiausaha Agung ASEAN sebagai Koordinator Bantuan Kemanusiaan ASEAN.
Menurut kenyataan kementerian lagi, para pemimpin ASEAN akan juga mengambil maklum terhadap Laporan Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Laporan Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN dan Laporan Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment