Myanmar main peranan utama
Oleh Gamal Nasir Mohd. Ali
NAY PYI TAW, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Malaysia yakin Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24 dapat meletakkan asas-asas yang penting kepada pembentukan Visi Komuniti ASEAN Pasca-2015 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini esok.
Malaysia yakin bahawa Myanmar akan memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju bagi perbincangan awal mengenai pelbagai dokumen yang akan membawa kepada pembangunan Komuniti ASEAN (AC).
Dalam konteks ini, Malaysia berharap sidang kemuncak kali ini akan dapat meletakkan asas kepada pembentukan Visi Komuniti ASEAN Pasca 2015," menurut Kementerian Luar atau Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri dijadualkan tiba di pusat pentadbiran kerajaan Myanmar ini esok bagi menghadiri Sidang Kemuncak Ke-24 ASEAN yang berlangsung dari 8 hingga 11 Mei.
Ini sidang kemuncak ASEAN pertama yang dianjurkan oleh Myanmar selepas menganggotai pertubuhan serantau ini pada 1997.
Najib akan bersama sembilan lagi negara anggota ASEAN dalam mesyuarat rasmi dan pemukiman ketua-ketua kerajaan ASEAN pada 10 dan 11 Mei, yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Myanmar (MICC) di sini.
Selain menyertai mesyuarat dan pemukiman ketua-ketua kerajaan itu, Najib juga dijangka menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN dan Mesyuarat pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Organisasi Masyarakat Madani.
Beliau juga akan menghadiri Mesyuarat pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Belia ASEAN, Sidang Kemuncak Kawasan Pembangunan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), dan Sidang Kemuncak Pembangunan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Selain diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, delegasi Perdana Menteri disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut kenyataan Wisma Putra lagi, Malaysia akan bekerja rapat bersama Myanmar dalam kerja berterusan Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi dalam Memperkukuh Sekretariat ASEAN dan Mengkaji Semula Organ ASEAN.
Aspirasi Malaysia ialah meningkatkan dan mengukuhkan semangat ASEAN dalam kerjasama dan perpaduan bagi menghadapi cabaran pada tahun 2015 dan tahun-tahun berikutnya," menurut kenyataan itu lagi.
Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN dari Myanmar pada tahun hadapan.
Ini merupakan lawatan kedua Najib ke Myanmar sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada April 2009. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment