My Add

Friday, 9 May 2014

Didenda RM1,000 kerana cuti sakit palsu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Gara-gara mengemukakan sijil cuti sakit palsu kepada majikan, seorang bekas penyelia tapak di sebuah syarikat pembinaan dihukum penjara satu hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Hirwan Rusman, 28, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di pejabat syarikat berkenaan di D6, Sentul East, di sini, 2 Januari lalu.

Gagal membayar denda, tertuduh yang diwakili peguam N. Satgurunathan, boleh dihukum penjara tiga bulan.

Mohd. Hirwan didakwa dengan curangnya menggunakan sijil cuti sakit itu sebagai dokumen tulen untuk memperdaya majikannya, syarikat pembinaan Yeoh Tiong Lay (SPYTL) Sdn. Bhd. sedangkan dia mengetahui sijil tersebut adalah palsu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, semakan yang dilakukan oleh seorang kakitangan bahagian pentadbiran syarikat itu dengan Bahagian Pesakit Luar, Hospital Kuala Lumpur (HKL), berhubung sijil cuti sakit itu bertarikh 28 Disember 2013, mendapati hospital tersebut tidak pernah mengeluarkan sebarang sijil seumpama itu selain cop yang digunakan dalam dokumen itu juga adalah palsu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment