Jualan syarikat Malaysia di Hong Kong cecah RM10.65 juta
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam Pameran Premium dan Cenderamata Hong Kong pada 27 sehingga 30 April lalu telah mencatatkan jualan bernilai RM10.65 juta.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerusi kenyataan berkata, pameran cenderamata dan premium itu adalah yang terulung di Asia dan merupakan antara terbesar di dunia.
Menurutnya, syarikat Malaysia yang ditempatkan di bawah Pavilion Malaysia dan diselaraskan oleh Matrade menerima sambutan amat menggalakkan daripada pembeli antarabangsa seperti dari China, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sepanyol, Argentina, Amerika Syarikat, Kanada dan negara ASEAN.
"Antara produk yang mendapat perhatian ialah pakaian, beg golf, sarang burung untuk hadiah korporat, karya seni kayu dua dimensi (2D), sarung telefon bimbit dan trofi piuter.
"Sebanyak 4,200 pempamer dari lebih 35 negara termasuk 16 pavilion nasional menyertai pameran itu dan ia berjaya menarik kira-kira 30,000 pembeli dari 151 negara," katanya di sini hari ini.
Matrade bersempena pameran berkenaan telah mengetengahkan cenderamata Malaysia yang mempunyai kualiti dan reka bentuk unik untuk memenuhi trend pengguna masa kini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment