My Add

Friday, 9 May 2014

SME Bank sasar RM5 bilion bantu PKS

Oleh NURUL HUDA HASSAN

 * SHEIKH Ghazali Abod memberikan taklimat mengenai perniagaan kepada para usahawan di Johor Bahru, semalam. - Utusan/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperhebatkan perniagaan mereka, SME Bank menyasar untuk meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 bilion dalam pelbagai bidang pada tahun ini.

Pengarahnya, Dr. Sheikh Ghazali Abod berkata, pada masa sama, SME Bank menyasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan bagi PKS Wilayah Selatan meliputi negeri ini, Melaka dan Negeri Sembilan sebanyak RM1 bilion.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Usahawan (CEDAR), anak syarikat SME Bank, menyeru usahawan PKS supaya merebut peluang yang diberikan bagi memantapkan perniagaan mereka.

"Bagi Wilayah Selatan, buat masa ini kita sudah luluskan pembiayaan sebanyak RM300 juta kepada peminjam yang menjalankan pelbagai perniagaan," katanya selepas Seminar Perniagaan SME di Pusat Informasi Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan usahawan PKS membuat pembiayaan bagi menjalankan perniagaan dalam bidang pembuatan sebanyak 15 peratus, peruncitan (30 peratus), perkhidmatan (10 peratus) dan selebihnya adalah sektor lain.

Pada masa sama, Sheikh Ghazali turut menyeru peminjam untuk menceburi bidang lain seperti minyak dan gas, pelancongan yang mampu memberi pulangan lebih lumayan biarpun merupakan sektor yang dilihat agak mencabar berbanding lain.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, memohon pembiayaan daripada SME Bank juga sama prosesnya seperti bank lain, namun ia tidak sukar seperti diperkatakan kerana mereka sudah semua proses terlibat tiga tahun lepas.

"Kalau ada yang kata kita sukar untuk meluluskan pembiayaan itu tidak benar kerana kita sudah menambah baik proses, namun dalam kes-kes tertentu mungkin pemohon tidak menghantar permohanan yang lengkap dan itu akan memakan masa," katanya.

Tambahnya, SME Bank mahu menjadi rakan kepada pemohon bukannya hubungan sebagai peminjam dan pemberi pinjam sekali gus menyokong usaha yang digerakkan kerajaan dalam usaha memastikan PKS mampu diperhebatkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment