My Add

Wednesday, 28 May 2014

Junta tentera umum penubuhan pusat perdamaian

* SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berarak menentang pemerintahan tentera di Monumen Kemen angan di Bangkok semalam. - REUTERS
BANGKOK, SELASA 27 Mei, 2014:Junta tentera Thailand mengumumkan penubuhan pusat perdamaian bagi mewujudkan suasana harmoni dan keamanan di negara ini ketika protes membantah rampasan kuasa pada 22 Mei lalu berterusan.

Jurucakap junta, Kolonel Wintai Suwaree juga mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra telah dibebaskan.

Wintai berkata, pusat perdamaian itu akan ditubuhkan di bahagian-bahagian utama dan di empat wilayah tentera di seluruh negara untuk menyatukan rakyat Thailand yang berpecah akibat politik selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan butiran lengkap rancangan itu kecuali semua pihak akan diundang termasuk mereka yang tidak terlibat dalam kemelut politik.

Berhubung pembebasan Yingluck yang ditahan pada Jumaat lalu, beliau berkata. Yingluck mungkin berada di Chiangmai, tempat kelahirannya ataupun masih berada di Bangkok.

"Benar beliau telah dibebaskan sekarang, beliau berada di rumah. Saya tidak tahu sama ada beliau berada di Chiangmai atau Bangkok," kata Wintai ketika menjawab soalan pada sidang media di sini hari ini.

Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara belum membebaskan beberapa tahanan lagi.

Namun, Wintai berkata, jumlah mereka yang ditahan dan mereka yang dibebaskan akan diumumkan pada sidang media pada hari ini.

Dalam pada itu, seorang anggota utama Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck, Chaturon Chaisaeng, ditahan oleh tentera selepas mengadakan sidang media di Kelab koresponden Asing Thailand (FCCT) semalam.

"Mereka (anggota-anggota tentera) hanya melakukan tugas mereka," kata Chaturon ketika beliau ditangkap.

Beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan semasa berkhidmat dalam Kabinet sebelum tentera melancarkan rampasan kuasa pada Khamis lalu.

Rampasan kuasa itu dilakukan selepas para penunjuk perasaan antikerajaan melancarkan tunjuk perasaan selama hampir tujuh bulan di Bangkok.

Chaturon tidak melawan apabila tentera datang dan menahannya di hadapan wakil media.

Di Bangkok, penunjuk perasaan antirampasan kuasa terus mengadakan bantahan selama beberapa jam setiap hari.

Bagaimanapun, mereka bersurai pada petang sebelum perintah berkurung pada malam hari bermula.

Kelmarin, pemimpin junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengisytiharkan beliau mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej untuk memerintah Thailand.

Justeru, beliau memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukannya.

Prayuth berkata, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin tetapi beliau tidak menetapkan tempoh masa untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada 67 juta rakyat Thailand. - Agensi/KOSMO!

No comments:

Post a Comment