My Add

Wednesday 28 May 2014

Umat Islam digesa beri gambaran jelas
 * NAJIB Tun Razak menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr .Farhan Ahmad Nizami (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Johan Jaaffar (kanan) dan Datuk Amrin Awaluddin pada Syarahan Perdana Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC),Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, SELASA 27 Mei, 2014: Umat Islam digesa memberi gambaran jelas mengenai ajaran agama itu kepada penganut agama lain bagi menepis segala tohmahan negatif yang dilemparkan terhadap Islam.

Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak berkata, usaha tersebut boleh direalisasikan dengan menjadi contoh terbaik dan maju dalam pelbagai bidang seperti zaman kegemilangan ketamadunan Islam suatu ketika dahulu.

Ujarnya, pendekatan sama termasuk mendekati bukan Islam dapat memperbaiki hubungan yang sudah luntur sejak beberapa dekad lalu.

"Usaha kita bukan tertumpu untuk mempengaruhi orang ramai tetapi lebih kepada menukar tanggapan dengan menawarkan kebenaran.

"Namun, soal itu terserah kepada kita, sama ada untuk mengubah tanggapan ini dengan gambaran yang lebih jelas tentang Islam atau sebaliknya," katanya dalam ucapan alu-aluan sempena siri Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Sekretariat SPP, Datuk Johan Jaafar.

Dalam majlis tersebut, Pengarah Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr. Farhan Ahmad Nizami dijemput menyampaikan syarahan bertajuk Kecemerlangan Lampau dan Cabaran Terkini Dunia Islam yang dipengerusikan oleh Fellow Ins­titut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Denison Jayasooria.

Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dominan di negara ini telah bersedia mengangkat syiar agama itu di seluruh dunia.

Ujarnya, negara mampu mencapai misi itu kerana berpengalaman hidup harmoni sejak mencapai kemerdekaan dengan komposisi rakyat berbilang agama dan bangsa.

"Kita percaya negara ini mampu bersatu dan menjadi sebuah masyarakat dihormati jika dapat mengatasi semua perbezaan dan memperjuangkan kepentingan antara satu sama lain menerusi satu suara, satu aspirasi," katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, penganjuran SPP yang bertaraf dunia merupakan salah satu platform bagi membincangkan mengenai agama Islam dalam suasana sihat sekali gus dapat mewujudkan suasana intelektual di negara ini.

"Menerusi syarahan ini, kita berpeluang mempersembahkan pengetahuan agama Islam menerusi pelbagai aspek yang berupaya menepis pandangan stereotaip terhadap agama di saat dunia kian mencabar ini.

"Dr. Farhan merupakan ahli akademik dari United Kingdom akan berkongsi pengetahuannya mengenai perspektif umat Islam menerusi pendekatan hidup secara toleransi di hadapan masyarakat berbeza kepercayaan dan agama.

"Dengan berbuat demikian, kita boleh memupuk sebuah masyarakat yang lebih bijaksana dan boleh bersaing dengan masyarakat lain di seluruh dunia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment