Kaji semula agensi perkhidmatan umrah
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan digesa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan tegas terhadap agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah bagi mengelakkan isu penipuan perkhidmatan daripada terus berlaku.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, antara bentuk tindakan yang boleh dipertimbangkan ialah menyenarai hitam agensi yang menipu jemaah selain mengenakan tindakan perundangan.
Tindakan proaktif perlu dirangka dan dilaksanakan segera dengan memanggil dan menyemak rekod perkhidmatan agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.
Saya mencadangkan supaya kementerian berwajib mengambil tindakan segera bagi mengelakkan lebih ramai jemaah tertipu dengan pakej umrah murah yang ditawarkan oleh agensi pelancongan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas aduan pengguna mengenai tindakan segelintir agensi perkhidmatan umrah yang tidak memberikan perkhidmatan sebagaimana yang dijanjikan walaupun mengenakan bayaran tinggi.
Antara janji yang dimungkiri ialah penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, hotel terletak 50 meter dari Masjidil Haram di Mekah serta perkhidmatan bas bertaraf VVIP.
Sementara itu, Abdul Azeez turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran pakej murah dan mendapatkan nasihat serta pandangan dari TH terlebih dahulu sebelum memilih agensi yang dikehendaki.
Katanya, TH menyediakan talian bebas tol 1-800-88-2033 untuk orang ramai mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai panduan haji dan umrah serta maklumat mengenai agensi perkhidmatan umrah di negara ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment