My Add

Saturday, 10 May 2014

Arab Saudi belum keluar nasihat kepada jemaah haji, umrah isu MERS-CoV

KALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan nasihat untuk jemaah haji dan umrah susulan penularan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).

Bagaimanapun menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan Arab Saudi, berdasarkan konsensus perubatan semasa, mereka yang berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta mereka yang menderita kurang daya tahan pe-nyakit dan penyakit kronik, dinasihat menangguhkan perjalanan.

“Bagaimanapun semua pihak boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi garis panduan pencegahan serta mengamalkan budi bicara," kata laporan di bawah tajuk Misconceptions About the MERS-CoV Debunked.

Laporan itu menyebut berdasarkan konsensus perubatan semasa, buat masa ini tiada vaksin untuk mencegah jangkitan atau menyembuhkan mereka yang positif pe-nyakit tersebut.

Apa yang dilakukan untuk membantu pesakit ialah rawatan perubatan intervensi biasa bagi mengurangkan simptom dan mengawal komplikasi, kata laporan itu.

Laporan itu juga memetik kenya­taan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa setakat ini belum berlaku epidemik.

“Akan tetapi Kementerian Kesihatan Arab Saudi sedang mengambil segala langkah perlu bagi mengurangkan risiko penyebaran virus dan bekerjasama dengan beberapa pakar antarabangsa serta pertubuhan termasuk WHO serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat," kata laporan itu.

Laporan itu juga menyebut konsensus perubatan semasa mengesahkan virus korona yang menyebabkan MERS ditemui di dalam unta dan kelawar selaku haiwan perumah.

Menurut laporan itu, sehingga semalam, sebanyak 126 kematian dan 463 kes dilapor di Arab Saudi membabitkan bandar raya Riyadh, Jeddah, Taif dan Madinah.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin mengerjakan umrah mematuhi nasihat dan amaran berkaitan MERS-CoV.

Beliau juga berkata, Malaysia tidak menegah mahupun menasihatkan rakyatnya menangguhkan perjalanan ke tanah suci bagi mengerjakan umrah.

Malaysia merekodkan kematian pertama akibat MERS-CoV pada 13 April lalu apabila lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia susulan pneumonia teruk disahkan dijangkiti virus tersebut.

Lelaki berkenaan yang berasal dari Batu Pahat, Johor mengerjakan umrah pada Mac dan mengadu demam serta sukar bernafas kira-kira 10 hari selepas kembali ke tanah air dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail pada 10 April.

Kes itu juga yang pertama direkodkan di rantau ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment