My Add

Tuesday 27 May 2014

Kemenangan Ramkarpal akan dicabar melalui petisyen pilihan raya?

PULAU PINANG, ISNIN 26 Mei, 2014: Kemenangan calon DAP, Ramkarpal Singh Deo dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor semalam dijangka akan dicabar melalui petisyen pilihan raya oleh pihak tertentu.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, perkara itu berasaskan kepada elemen teknikal berkaitan pelanggaran serta pencabulan ke atas keputusan yang dibuat DAP yang bertentangan dengan arahan mandatori Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 6 Disember 2013.

Menurutnya, selagi surat itu tidak dibatalkan melalui perintah mahkamah, maka arahan ROS yang antaranya tidak membenarkan pemegang Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang belum disahkan jawatan mereka membuat apa-apa keputusan parti perlu dipatuhi.

"Kita jangan lupa kepada kes petisyen pilihan raya melibatkan Wee Choo Keong beberapa tahun dahulu yang berkemungkinan akan berulang kembali jika ada pihak berkepentingan membawa kes PRK Bukit Gelugor ke mahkamah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam persaingan empat penjuru PRK berkenaan semalam, Ramkarpal menang dengan majoriti 37,659 undi selepas memperoleh 41,242 undi.

Tiga lagi calon iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan memperoleh 3,583 undi manakala dua lagi calon Bebas iaitu ahli Pas, Moha­med Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Shatar (799) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225).

Dalam pada itu, Rahmad berkata, peratusan pengundian yang rendah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor semalam memberi isyarat penolakan yang jelas terhadap DAP dalam kalangan pengundi di kawasan itu.

Menurut beliau, DAP tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan calon mereka, Ramkarpal Singh Deo apatah lagi dia gagal mempertahan majoriti yang dimenangi penyandang, Karpal Singh.

Tambahnya, kegagalan menarik pengundi memberi sokongan lebih besar kepada calon mereka juga adalah tamparan hebat kepada hala tuju dan masa depan DAP memandangkan kawasan tersebut merupakan antara kubu kuat parti itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment