My Add

Friday 9 May 2014

Kempen Pertanian Bandar dilancar

Oleh HAKIMI ISMAIL

* ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan tanaman sawi yang menggunakan kaedah Portable Nutrient Film Technique selepas merasmikan Kempen Pertanian Bandar Peringkat Wilayah Persekutuan di Putrajaya, semalam. - Utusan/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan sebanyak 20 peratus penduduk bandar di seluruh negara akan terlibat dalam pelaksanaan Kempen Pertanian Bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penglibatan penduduk bandar menerusi kempen itu mampu mengurangkan kos sara hidup dan secara langsung sebagai strategi menangani cabaran kemiskinan bandar ketika ini.

Beliau berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan seharian mereka yang terlibat, malah dapat menambah sumber pendapatan sekiranya terdapat lebihan hasil yang boleh dijual.

"Tiba masanya kementerian merancang untuk menjayakan Kem­pen Pertanian Bandar sebagai langkah awal mengurangkan import bahan makanan negara yang semakin bertambah setiap tahun.

"Kira-kira 72 peratus daripada rakyat di negara ini tertumpu di bandar raya utama. Kadar urbanisasi yang tinggi mengakibatkan berlaku kemiskinan bandar yang menjadi satu cabaran utama kerajaan untuk mengatasi masalah mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Pertanian Bandar Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bagi memastikan kempen tersebut berjalan lancar, pihaknya melantik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sebagai penganjur utama selain turut dibantu Jabatan Pertanian, Lembaga Pema­saran Pertanian Persekutuan (FA­MA), Jabatan Pembangunan Ban­dar dan Desa serta syarikat swasta yang terpilih.

Katanya, kementerian memperuntukkan RM1 juta bagi menjayakan kempen tersebut termasuk pem­berian baja, benih, latihan, taklimat oleh agensi terlibat.

Katanya, menerusi kempen itu, warga bandar digalakkan menanam empat jenis tanaman utama iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan bunga-bungaan.

"Kita menyeru seluruh jabatan kerajaan, syarikat swasta, persa­tuan penduduk dan individu me­ngamalkan pertanian bandar yang hanya memerlukan kos permulaan kira-kira RM300 sahaja.

"Kempen ini meliputi projek kebun komuniti yang melibatkan kawasan penanaman di sekitar pangsapuri dengan menggunakan sistem mini fertigasi yang tidak memerlukan ruang tanah besar," katanya.

Selain itu, katanya, projek pertanian bumbung pula khusus untuk tanaman di atas bumbung yang akan diaplikasi di kawasan bandar.

"Bagi kawasan institusi, pejabat kerajaan, sekolah dan hospital pula akan menggunakan projek laman institusi.

"Konsep pertanian bandar telah pun mendapat sambutan di kebanyakan negara maju dan membangun seperti Kanada, Amerika Syarikat, Australia dan England," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai peranan kementerian dalam mengelakkan kenaikan harga barang makanan, Ismail Sabri berkata, kementerian sentiasa memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi bagi mengelakkan kenaikan harga akibat penawaran.

"Sekiranya terdapat kekurangan penawaran sesuatu barang itu dalam negara, kementerian akan mengambil tindakan segera dengan mengimport barang tersebut dari negara luar bagi menyeimbangkan pasaran.

"Tetapi kita tidak boleh import terlalu banyak kerana jika harga barang terlampau rendah petani kita yang akan rugi. Kita tak nak membunuh sektor pertanian dalam negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment