![]() |
* ALIF Daniel Jafri Malin (tengah) bersama rakan-rakan dan gurunya selepas diumumkan terpilih sebagai pengulas muda sempena Festival Sains dan Kejuruteraan Amerika Syarikat di Washington pada majlis yang diadakan di SK Kubang Kerian 3, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. |
Dia antara 86 kanak-kanak dari seluruh dunia yang terpilih untuk memberi ulasan artikel dimuatkan dalam jurnal berjudul Frontiers For Young Minds yang dilancarkan sempena Festival Sains dan Kejuruteraan Amerika Syarikat di Washington pada 25 dan 26 April lalu.
Naib Presiden Kelab Neurosains sekolah itu berkata, dia berjaya dipilih sebagai pengulas muda apabila bapa yang juga mentor, Prof. Jafri Malin Abdullah membuat permohonan bagi pihaknya.
"Sejak dari kecil, saya sudah terdedah dengan dunia sains kerana bapa adalah seorang saintis.
"Selain itu, penubuhan Kelab Neurosains yang ditubuhkan oleh Jabatan Neurosains Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) juga membantu meluaskan minat saya dalam bidang sains," katanya.
Cerita Alif Daniel, dia begitu teruja apabila mengetahui dipilih sebagai pengulas muda kerana dapat bertukar-tukar pandangan mengenai artikel yang dibaca dengan rakan-rakan lain dari seluruh dunia biarpun hanya berhubung menerusi internet semata-mata.
Katanya, tugas mengulas artikel sains bukan suatu perkara mudah tetapi dengan bantuan daripada mentor iaitu bapanya, semua dapat dilakukan dengan lancar.
Sementara itu, dalam satu kenyataan Ketua Editor Frontiers For Young Minds, Robert T. Knight berkata, pemilihan pengulas muda itu adalah inisiatif dalam memperkenalkan proses pembelajaran sains dengan memaksimumkan penggunaan otak.
"Lazimnya, orang dewasa yang membuat keputusan yang diperlukan oleh kanak-kanak tetapi kini kanak-kanak sendiri membuat pilihan apa dan bagaimana mereka ingin mempelajari," katanya.
Menurut beliau, ramai saintis mahu berkongsi penyelidikan mereka tetapi tidak mengetahui cara terbaik untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak.
Melalui jurnal yang diterbitkan itu, katanya, kanak-kanak dan remaja terlibat berperanan untuk membantu membangunkan hasil penyelidikan sains dari komen, kritik dan cadangan mereka.
Katanya, projek yang berasaskan internet itu melibatkan 86 kanak-kanak dan remaja berumur antara 5 hingga 16 tahun sebagai pengulas bersama mentor masing-masing.
Beliau yang juga pakar Psikologi dan Neurosains, Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat, berkata, pihak dia menerbitkan keputusan penyelidikan saintifik yang diulas oleh kanak-kanak dan remaja terlibat.
"Program ini juga dapat membantu memperkasa pemikiran kanak-kanak dengan memberikan peranan penting dalam proses percetakan dan membantu mendedahkan hasil tulisan itu kepada semua.
"Antara artikel yang menjadi perhatian termasuk Keajaiban Sejarah Neurosains; Facebook dan Signifikasi Bercakap Dalam Tidur secara Saintifik. Bagi mereka yang berminat untuk membaca jurnal tersebut, boleh melayari www.kids.frontiersin.org," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment